Mencari Laila

Gambar hiasan ~~ cerita bukan dari sumber gambar

Satu halaman FB Islamika memaparkan gambar fajar. Tajuknya “Hanya Allah yang mengetahui jika malam tadi adalah Laila al-qadr”

Dan komen-komen di bawah berbunyi begini:

Resha(Pakistan) : Kalau begitu, malam ini lah laila al-qadr di Pakistan?

Ali(Pakistan): Ya, tolong sesiapa sahkan, benarkah ia malam ke dua puluh tujuh?

Yousef (US): Malam ke dua puluh tujuh dah berlalu, malam ini adalah malam ke dua puluh lapan

Ali(Pakistan): Tetapi malam ini ialah malam ke dua puluh tujuh di Paksitan

Resha(Pakistan): Betul tu!

Brahim (US): Kita duduk di planet yang sama. Malam itu telah berlalu dan tak mungkin berulang bagi sesiapa yang mula Ramadhan lewat sehari. Siapa yang tahu mana satu malam yang ganjil dan malam yang genap?

 

……………………………………………………………………………………………………………………………………….

Aku: Uhhhhh….. kalau Laila al-Qadr ikut waktu US, Malaysia tak ada lah Laila al-Qadr… tapi Yaum al-Qadr? >.<|||

 

Tersurat dan tersirat dalam Laskar Pelangi

Artikel asal dari blog lama saya, diterbitkan kali pertama pada 3/8/2009

Pada kulit buku ini tercetak ‘INDONESIA’S MOST POWERFUL BOOK’. Jadi aku cuba cari dan kongsikan di sini KUASA yang terkandung dalam buku ini.

SINOPSIS RINGKAS

Beberapa puluh tahun lampau, di Pulau Belitung, Indonesia, 10 orang sahabat mendapat gelaran LASKAR PELANGI dari guru mereka – Ibu Muslimah. Laskar bermaksud tentera atau pejuang. Pelangi pula kerana kebiasaan mereka duduk bertenggek di dahan pohon filicium tua di hadapan kelas setiap kali selepas hujan – untuk menikmati warna-warna pelangi. Ikal, Lintang, Mahar, Kucai, Borek, Shahdan, Trapani, A Kiong, Sahara, Harun dan Flo. Berada dalam kelas yang sama dengan guru yang sama selama 9 tahun – kecuali Flo yang menyertai mereka lewat. Di Sekolah Muhammadiyah inilah bermula semua cerita persahabatan mereka. Buku ini memaparkan suka-duka mereka. Pengalaman-pengalaman masa kecil yang menumbuhkan mereka menjadi manusia. Ceritanya biasa, anak miskin berusaha keras untuk kelangsungan hidup demi mempertahankan hak mereka untuk mendapat pendidikan. Lalu, apa yang menjadi kekuatan novel ini?

PENULISAN DAN GAYA CERITA

Novel ini tidak ada jalan cerita. Bab-bab dalam Laskar Pelangi tidak ditulis mengikut kronologi, tidak ada plot, tidak ada konflik utama dan kemuncak konflik. Ia ditulis berdasarkan subjek, tentang sesuatu entiti atau peristiwa. Peristiwa-peristiwa itu tiak pula disusun mengikut jalur masa. Satu bab menceritakan hari pertama mereka mendaftar sekolah. Satu bab menceritakan watak-watak para Laskar Pelangi – kecuali Lintang dan Mahar yang lebih istimewa dalam bab masing-masing. Satu bab berkisah tentang bunda guru. Satu bab tentang sekolah. Malah satu bab tentang pohon falicium tua yang meneduhi kelas mereka. Satu bab tentang kegirangan musim hujan. Satu bab masing-masing tentang peristia karnival 17 Ogos dan Lumba Cerdas Cermat. Tak lupa bab-bab yang menceritakan cinta pertama Ikal, A Ling.

Andrea Hirata bijak menggunakan metafora. Contohnya dia memetaforakan gedung PN Timah sebagai Taman Tergantung Babilon iaitu – sangat ekslusif dan hanya orang-orang tertentu saja yang layak memasukinya. Dan timah di bumi Belitong dimetaforakan sebagai Tower of Babel – iaitu tangga menuju syurga kerana sepatutnya rezeki yang Allah limpahkan kepada bumi itu seharusnya dapat memberikan mereka kemakmuran. Lebih menarik metafora langit ketujuh sebagai tempat kebodohan bersemayam. Kisah bagaimana Lintang mendapat anugerah genius juga tak kurang hebat – Lintang dibayangkan dikunjungi oleh para genius zaman lampau, di apit oleh Copernicus dan Lucretius, lalu Tuhan menyemaikan biji zarah kecerdasan yang jatuh dari langit dan menghentam kening Lintang. Lintang melihat keindahan ilmu dalam buku seperti kunang-kunang dalam malam gelita.

Ketika menceritakan tentang pohon felicium tua dan segala hidupan yang bergantung denggannya. Andrea menggunakan nama-nama saintifik bagi makhluk-makhluk tersebut – burung, kumbang dan rerama. Susah hendak disebut tetapi berjaya membuat ceritanya segar. Bagaimana semuanya berhubung dalam rantai makanan yang teratur. Dan bagaimana 10 homo sapiens kecil (para Laskar Pelangi) selalu menjadi pengganggu.

Dalam Laskar Pelangi ada dua senarai yang selalu mencuit hati iaitu pelajaran-pelajaran moral dan 44 penyakit gila. Dua senarai ini berlanjutan hingga Mariamah Karpov. Inilah hal-hal kecil yang mensinambungkan keempat-empat buku.

4 Bab terakhir ialah kisah mereka 12 tahun kemudian. Ikal atau Andrea, akhirnya nanti belajar ke Perancis – ini diceritakan lanjut pada buku-buku seterusnya. ‘Aku’ dalam bab terakhir bukan lagi Ikal, tetapi Shahdan kerana waktu itu Ikal sudah pun terbang ke Perancis.

KEKUATAN DALAM LASKAR PELANGI

Andrea menulis novel ini, bukan dengan niat untuk diterbitkan. Inilah anggannya sejak kecil. Tercetus kerana satu peristiwa semasa SD3. Hari itu hujan lebat dan ibu Muslimah tidak sampai-sampai ke sekolah. 10 anak kecil itu ketakutan di dalam kelas yang bocor dan uzur. Sekolah itu, menurut Ikal, tak ubah seperti gedung kopra (kelapa kering) dan malamnya digunakan untuk meneduh binatang ternak. Ibu Muslimah – guru yang cuma mendapat gaji 15kilo beras itu, akhirnya tiba juga dengan bersusah payah meredah hujan dan berpayungkan daun pisang. Andrea melihat bu Mus sebagai – perempuan perkasa, diam-diam dia berazam untuk menulis tentang gurunya bila dia dewasa. Kenapa menulis? Kerana waktu itu, buku ialah sesuatu yang mewah bagi mereka. Lagipula memang cita-cita asalnya untuk jadi penulis. Takdir Allah, dia lulus sebagai sarjana ekonomi. Pun begitu, terlunas juga anggannya. Ketika Andrea mula menulis, ibu Muslimah sedang sakit. Lalu, Andrea menulis tanpa henti selama 3 minggu dan tanpa disangka olehnya dia telah menuliskan 600 halaman. Dan akhirnya dihadiahkan seada-adanya untuk gurunya tercinta, Ibu Muslimah dan rakan-rakan zaman kecilnya, para ahli Laskar Pelangi.

Menurut GDE Prama; seorang penulis Indonesia dalam rancangan Kick Andy, kekuatan utama buku ini adalah ‘Cinta seorang murid pada ibu gurunya’. Ya itu memang benar dan jelas sekali. Ibu Muslimah diangkat setinggi-setingginya. Dan ini berlanjutan kepada buku-buku seterusnya dalam tetralogi Laskar Pelangi. Kita dapat melihat bagaimana pesan-pesan dan ajaran ibu Muslimah menjadi pedoman Ikal sehingga dia dewasa. Adrea sentiasa menyanjung Ibu Muslimah, Pak Harfan (kepala sekolah) dan SD Muhammadiyah itu sendiri. Dinyatakan dalan novel ini; lebih kurang –

‘Ada satu keindahan di sekolah agama yang bobrok ini, tetapi aku enggan menukarnya dengan kemewahan mana-mana sekolah sekalipun’.

‘Di titik dan tempat ini, aku merasa bangga menjadi Melayu Belitung dan pernah belajar di SD Muhammadiyah’

Laskar Pelangi adalah FENOMENA dalam industri buku Indonesia selepas Ayat-ayat Cinta. Walaupun Andrea berkelulusan Sarjana Ekonomi, tak pernah belajar sastera dan bukan pembaca sastera, Laskar Pelangi tak pula jadi novel pop. Laskar Pelangi penuh dengan kritik sosial. Andrea memaparkan sosio-ekomoni Pulau Belitung yang kaya dengan timah. Namun, kekayaannya hanya tertumpu pada satu kawasan – GEDUNG; kompleks penempatan orang staf PN Timah. Andrea menceritakan dengan terperinci suasana ala aparteid antara golongan atasan PN Timah yang digelar orang staf dan masyarakat kebanyakan Belitung. PN (perusahaan negara) Timah yang mewarisi perusahaan perlombongan dari penjajah Belanda tidak membebaskan masyarakat Belitung dari pilih kasih dalam penjajahan malah mereka menjadi semacam penajajah baru. Gedung mempunyai semua kemudahan dari rumah besar bergaya victoria, sekolah lenagkap, hospital, pawagam hinggalah padang golf. Hanya orang staf PN Timah saja mempunyai kelayakan tersebut, di mana-mana akses untuk masuk ke kawasan gedung tertulis ‘DILARANG MASUK BAGI YANG TIDAK MEMILIKI HAK’. Malahan mereka mempunyai Polsus (Polis Khusus) Timah.

Manakala rakyat belitung yang kebanyakannya menjadi kuli bawahan PN Timah, menduduki rumah-rumah kampung, hidup miskin dan beranak ramai. Anak-anak yang mencapai umur sekolah malahan terpaksa bekerja untuk membantu menyara keluarga. Rakan-rakan Ikal sendiri, Mahar, Shahdan, Kucai dan Lintang diceritakan bekerja sejak SD – lepas pulang dari sekolah.

Ketika menceritakan kisah membeli kapur di Manggar, Andrea dengan bersahaja melukiskan Manggar dalam kepala pembaca. Pasar ikannya, deretan kedainya. Malah kebusukannya pun terbau lantaran keterperincian yang dia tampilkan. Sekaligus, aktiviti ekonomi, struktur, sifat-sifat dan nilai-nilai dalam masyarakat Melayu, Tiong Hwa dan Sawang dikupas.

FILEM LASKAR PELANGI

Secara umumnya filem Laskar Pelangi berjaya memaparkan isi hati cerita asal buku ini. Walaupun tidak semua ditampilkan atau ditampilkan tetapi tidak seperinci seperti dalam bukunya. Produksi filem jelas berusaha kuat untuk memindahkan aura novel pada filem. Dengarnya, Ibu Muslimah sendiri menangis dan enggan memasuki replika SD Muhammadiyah kerana terlalu sama dengan sekolah asalnya. Dan ketika dibawa Andrea menonton filem tersebut, bu Mus tersentuh hati menangis dari awal cerita. [Aku pon sama,masa Harun datang tu aku dah sedih dah hehe]. 12 orang anak-anak belitung yang membintangi filem ini sangat berbakat.

MENGAPA ‘INDONESIA’S MOST POWERFUL BOOK’

Selain menularkan motivasi kepada berjuta orang, beberapa kesan besar terhasil dari ledakan buku ini.

1. Nasib Lintang yang genius tetapi tewas pada kemiskinan lalu tidak dapat terus belajar menjentik hati pembaca. Lalu mencetuskan perbincangan dan perdebatan tentang ini. Ramai yang bersetuju masih ada ramai ‘Lintang’ di Indonesia. Khabarnya kerajaan Indonesia mengkaji semula sistem pendidikan mereka. Cut Mini yang mendokong watak ibu Muslimah dalam filem Laskar Pelangi, kini menjadi Duta Pendidikan Nasional dan sibuk pula berlakon iklan ‘Sekolah Gratis’

2. Ibu Muslimah serta-merta menjadi icon perguruan. Beliau telah dianugerahkan penghargaan Satyalencana Pendidikan dari Presiden Susilo Bambang Yudhoyono [sumber sini]. Dijemput dalam seminar-seminar dan perkumpulan tentang pendidikan.

3. Belitong menerima pertambahan pelancong. Kalau dulu aktiviti pelancong banyak tertumpu di Tanjung Pandan, pantainya dan pulau-pulau kecil sekitarnya. Kini, agensi pelancongan menyediakan pakej – Laskar Pelangi – mereka turut melawat kampung Andrea di Desa Gantong – kalau beruntung dapat bertemu ibu bapa Ikal, Ibu Muslimah dan anggota Laskar Pelangi. Satu yang mesti dilawat ialah ‘Sekolah SD Muhammadiyah’ yang digunakan untuk pengambaran filem. Malahan mereka juga melawat Manggar, tempat Ikal menemui cinta pertamanya – toko Sinar Harapan yang busuk, melihat-lihat pasar ikan dan pelabuhan Manggar.

AKHIRAN

Bu Mus, Pak Harfan dan SD Muhammadiyah sangat mengesankan hidup para Laskar Pelangi. Meski mereka kini telah berjaya menentang kemiskinan, tetapi tak menjadikan mereka manusia sombong. Kucai yang kini ahli politik berkata beliau tidak pernah menganggap dirinya berjaya, malah beliau juga percaya Andrea sendiri berfikiran begitu – kerana cita-cita mereka ialah melepaskan masyarakat Belitung keseluruhannya dari kemunduran fikiran. Andrea berkali-kali menyatakan – kalau bukan kerana Harun, murid down sindrom yang mencukupi 10 orang murid sebagai syarat minima dari pejabat pendidikan, maka tidak wujudlah Laskar Pelangi. Bagaimana Allah mengirimkan anak istimewa yang sebenarnya tidak dapat mencerna pelajaran sebagai rahmat besar bagi para Laskar Pelangi. Mungkin sebab itu, mereka tidak pernah merasa kejayaan mereka ahalah hak mutlak mereka sendiri. Itulah ajaran unggul bu Mus, iaitu rendah hati.

New Zealand: Negara paling “Islam” dan berkebajikan?

Mengukur islamic governance dalam sesebuah negara.

Aku mendapat tahu kewujudan kajian ini dari Dr Mazlee Malik ketika K-Fiqh tempoh hari. Menurutnya, satu kajian telah di jalankan untuk mengukur berapa “Islam”nya sesebuah negara. Bukan dari segi akidah atau syariah, tetapi ia yang di ukur ialah konsep-konsep Islamic governanance seperti keadilan, kebajikan, kebebasan bersuara, perbicaraan adil dan beberapa aspek lagi yang wujud dalam sesebuah negara.

Dalam kajian yang di buat oleh dua orang penyelidik dari Universiti George Washington, New Zealand menduduki tempat pertama. Malaysia menduduki tempat ke 38, tempat paling baik di antara negara-negara Islam. Pon, Malaysia tidak menggelarkan dirinya negara Islam tetapi Islam adalah agama rasmi.

Aku tak terkejut New Zealand mendapat tempat pertama. Dari pengalaman yang singkat, aku melihat akhlak-akhlak anjuran Islam wujud pada warga New Zealand. Ramah, suka menolong, jujur, menghargai orang lain dan cintakan alam sekitar. Hari pertama, aku terkejut bila pegawai kastam memberi reaksi “lovely!”. Hari-hari selepas itu, perkataan lovely, nice, awesome, great menjadi kebiasaan yang menyenangkan bila berurusan. Sampaikan pemandu bas pon memuji kami “lovely girls” kerana siap sedia dengan duit di tangan ketika hendak menaiki bas. Selain itu, ucapan “how are you?” dan senyuman manis adalah lazim bila masuk ke kedai atau berurusan di kaunter dan sapaan di bila saling berselisih. Tak pernah sekalipon aku jumpa peniaga, pekerja kaunter atau kedai yang bermasam muka. Mereka bukan buat begitu kerana kami ini tetamu, tetapi itu sememangnya budaya mereka. Aku perhatikan tabiat mereka. Bagaimana mereka menyapa antara satu sama lain bila berjumpa. Bagaimana pekerja cafe menyapa pelanggan yang datang dan pergi. Ungkapan yang mereka gunakan juga menarik. Bahasanya santun dan menyenangkan hati. Memuji pilihan pelanggan dan sebagainya.

Honesty Box adalah konsep biasa di tapak-tapak perkhemahan di seluruh New Zealand. Ketika menginap di Rakia Gorge, walaupon ada penjaga bertugas, dia enggan menerima duit dari kami sebaliknya meminta kami meletakkan duit di Honesty Box. Konsep yang sama di gunakan di semua tapak perkhemahan DOC.

Tidak jauh dari pekan Hokitika menuju Grey Mouth, kami temui sebuah gerabak yang menjual hasil tani. Cuma gerabak tanpa si penjual. Apa yang dijual di situ? Beberapa kantung kentang. Setiap kantung mengandungi 10 kilo kentang. Sayur-sayuran dan buah-buahan. Ada juga beberapa barangan terpakai. Rumah terdekat terletak lebih 10 meter dari gerabak tersebut. Sangat mudah untuk pencuri melarikan barang-barang tersebut.

[slideshow]

Negara berkebajikan

Negara berkebajikan yang selalu kita dengar, tak sama maksudnya dengan negera kebajikan atau welfare state yang di amalkan di beberapa negara di Eporah dan US. Negara berkebajikan terjadi di mana rakyat dan kerajaan saling memberi. Ciri ini sangat kelihatan di New Zealand.

Di New Zealand tiada lebuh raya bertol, juga tiada RnR. Namun, di setiap pekan ada tandas awam yang terjaga dan bersih. Tandas-tandas ini, bukan di sediakan oleh kerajaan tetapi oleh komuniti setempat. Boleh jadi di tepi jalan atau jika sesuatu pekan mempunyai tempat tarikan seperti tasik dan sebagainya, tandas pasti di jumpai di kawasan sekitar. Di beberapa tempat, di sediakan kotak sumbangan. Hasilnya digunakan untuk membantu komuniti memperbaiki fasiliti yang mereka sediakan.

Tapak perkhemahan Rakai George dan Campbell Bay adalah dua contoh tapak perkhemahan yang di usahakan oleh komuniti setempat. Tidak bersifat komersil. Caj yang dikenakan adalah minimum atau percuma.

Ketika singgah di pekan Oamaru, kami sempat menaiki keretapi wap (sebenarnya ia kini menggunakan diesel). Rupa-rupanya, keretapi yang beroperasi setiap ahad ini, di operasikan oleh sukarelawan yang mengumpul dana bagi memelihara warisan yang terdapat di pekan bersejarah Oamaru. Menarik bukan?

Kingston tak kurang hebatnya. Kingston pekan kecil di pinggir Queenstown, hanya berpopulasi 150 orang. Ia mempunyai sebuah balai bomba. Yang menariknya, ahli pasukan bomba terdiri dari para sukarelawan. Hebat sekali.

Aku menyokong penuh usaha kerajaan Kelantan membina Lebuh Raya Rakyat. Semoga semangat wakaf ini mendapat keberkatan dan memakmurkan negeri mereka. Bukankah kita selalu mendengar orang berkata – Jangan tanya apa yang negara beri kepada kamu, tapi tanyalah apa yang aku beri kepada negaramu. 🙂

Lampiran:

Global Economy Journal; Scheherazade S. Rehman & Hossein Askari; George Washington University 2010

http://www.scribd.com/doc/83915083/How-Islamic-Are-Islamic-Countries

http://surfingbehindthewall.blogspot.com/2012/02/new-zealand-is-worlds-most-islamic.html

 

Konvensyen Fiqh Ummah 2012


Sabtu dan Ahad yang lepas, aku berpeluang mengikuti Konvensyen Ummah 2012 yang diadakan buat kali ke dua di Malaysia. Kali pertama di Kuala Lumpur dan kali ini di Johor Bahru. Konvensyen di KL dulu pon aku beli tiket juga, tapi tak dapat pergi. Alhamdulillah kami ni Allah memilihku (walhal yang tak dapat pergi dulu pon atas pilihan sendiri – prioriti yang ditentukan oleh diri sendiri). Ramai yang nak pergi tapi ada banyak keuzuran lain yang tak dapat dielakkan. Begitulah, kita merancang, Tuhan juga merancang. Kena doa selalu perancangan kita selari dengan perancangan Tuhan. Program seperti ini di anjurkan di Johor Bahru… masih sangat langka. Peluang yang terlalu sukar aku lepaskan.

Ada kawan bertanya, apa dia konvensyen ni? Ramai yang tak dapat bayangkan. Lebih lagi kena bayar yuran yang agak mahal juga. RM160.  Yelah, tak biasa kita dengan program agama yang berbayar ni.

K-Fiqh Ummah membicarakan konsep wasatiyyah dalam 9 aspek:

  1. Wasatiyyah dalam berdakwah
  2. Wasatiyyah dalam akidah
  3. Wasatiyyah dalam memahami teks al-Quran dan Hadis
  4. Wasatiyyah dalam ekonomi dan kewangan
  5. Wasatiyyah dalam penyucian jiwa
  6. Wasatiyyah dalam ibadah
  7. Wasatiyyah dalam memahami dan menghargai thurrah (kitab klasik / kitab kuning)
  8. Wasatiyyah dalam berpolitik
  9. Wasatiyaah dalam gaya hidup
Setiap slot / topik menampilkan dua hingga tiga orang panel pembentang. Kesemua kertas kerja dibukukan dengan baik oleh Telaga Biru Sdn. Bhd. Barisan panel sangat berkaliber. Gabungan mantop merentas generasi. Dari senior-senior seperti Dr Zulkifli Al-Bakri dan Dr Basit Abd Rahman hinggalah Imam Muda Asyraf. Secara keseluruhan, penyampaian mereka menarik, mudah di fahami dan praktikal dengan keadaan semasa di Malaysia khususnya.

Ketika sesi soal jawab, melihat para asatizah duduk sebaris di pentas, aku rasa sedikit terharu. Biasanya kalau kita dengar Ustaz Zahazan atau Ustaz Zaharuddin atau Ustaz Syed Norhisham hadir di satu-satu majlis, berduyun orang datang menyertai. Kalau mereka keluar TV, kita tak mau terlepas. Kali ini bukan seorang, bukan dua orang tapi 15 orang asatizah. Kau pilih saja yang mana berkenan di hati. Aku gelarkan sesi ini Tanyalah Ustaz MEGA. Kesemua mereka, kalau aku boleh sebutkan adalah selebriti dunia dakwah. Muka-muka yang tak asing kita lihat di TV. Suara yang kita kenal dari corong radio. Asatizah yang kita ikuti FB, Blog dan Twitter mereka. Tak kurang yang telah menghasilkan naskah-naskah ilmu.

Selepas sesi soal jawab, ada pula sesi konsultasi. Di mana peserta bleh berjumpa ustaz pilihan mereka secara bersemuka dan bertanyakan kemuskilan. Sangat-sangat bermakna sesi ini pada orang biasa seperti aku. Aku tak bersedia secara mental, cuma dapat menanyakan satu soalan. Bila balik, banyak pula soalan dan kemuskilan timbul. Aduh!

Untuk pengisian dua hari penuh (hari pertama berlarut hingga malam) dan dua buah buku yang mudah-mudahan dapat dimanfaatkan, bila di nilai dengan RM160 memang berbaloi-baloi.

Perasaan selepas mengikuti konvensyen ni…. sangat susah nak diterangkan. Aku rasa terhibur, padahal bukan pergi konsert hiburan. Tajuknya pon banyak yang berat. Aku kira kerana ia memenuhi kemahuan fikiran dan jiwaku. Dari situ datangnya seronok. Kata Auni yang baru setengah tahun menjadi orang JB, ini adalah hujung minggu paling best di JB setakat ni 😉
Okey… sila tinjau-tinjau 🙂
[slideshow]

Selebihnya, sila tonton video ini

[youtube=http://www.youtube.com/watch?v=o_5N0EHlCkE]

Link: https://www.facebook.com/kfiqh   /   http://k-fiqh.com/

=================================================================

Aku masih ingat bab wasatiyyah ini ada di ajar dalam silibus subjek Agama ketika aku tingkatan lima. Aku ingat kerana bab ini menimbulkan banyak persoalan dalam kepala aku. Namun, lama kelamaan soalan-soalan itu terbiar begitu saja. Kadang-kala isu-isu semasa mengingatkan lagi aku padanya. Ada banyak penyalahgunaan konsep ini dapat kita lihat di peringkat national mahupon antarabangsa. Terlalu banyak takrifan. Berbelas tahun, baru kali ini aku dapat penjelasan yang tuntas. Jelasnya kerana selama ini aku tak bersungguh untuk belajar, menganggapnya enteng.

Bila umur bertambah setahun lagi …..

Saban tahun kita menerima ucapan selamat hari lahir. Kita gembira dan bersyukur. Kita lihat kembali jalan-jalan yang telah kita lalui. Dahulu kita kecil sekarang sudah besar. Dahulu poket nipis, sekarang sudah tebal. Dahulu sendiri sekarang berkompeni. Mungkin juga sebaliknya berlaku. Tapi mari melihat yang positif saja. Dahulu menyewa, sekarang punya rumah sendiri. Dahulu naik bas, sekarang berkereta. Begitulah seterusnya.

Pernah tak kita lihat perkara yang lebih kecil. Pernah tak kita lihat pada rak buku, majalah yang bertumpuk, susunan DVD dan TV serta radio kita? Cuba ingatkan kembali apa jenis buku dan majalah yang kita baca 15 atau 20 tahun dulu. Apa jenis filem kita tonton dan apa jenis rancangan TV dan saluran radio yang kita suka. Masih ingat pada kawan-kawan lama? hobi masa lampau? Jom kembali ke masa lampau.

Cuba ingat dan senaraikan. Contohnya begini:

20 tahun lalu

Buku: Novel-novel Lamia Aimal, Ahadiat Akashah (paling tersohor waktu aku remaja)

Majalah: Mangga? URTV? Gila-gila, Ujang, Al-Islam (dah ada ke?), Intisari, Variasi, Mastika (dahulunya mastika adalah sastera dan politik, bukan majalah mistik)

Akhbar: Berita harian, Utusan Malaysia

Filem: Abang92, Perempuan isteri dan dot dot dot, Isabella

Rancangan TV: Majalah 3, Muzik-muzik, Melodi, Sinaran Passport Kegemilangan

Stesyen radio: Best 104

Hobi: Karaoke? Kumpul setem?

Kawan-kawan: Kawan sekolah (geng ulat buku/geng kaki ponteng?), sepupu sepapat

15 tahun lalu

Buku: __________________________________

Majalah: ________________________________

Akhbar:_________________________________

Filem: __________________________________

Rancangan TV: ___________________________

Saluran radio: ____________________________

Hobi:___________________________________

Kawan-kawan:____________________________

10 tahun lalu

Buku: __________________________________

Majalah: ________________________________

Akhbar:_________________________________

Filem: __________________________________

Rancangan TV: ___________________________

Saluran radio: ____________________________

Hobi:___________________________________

Kawan-kawan:____________________________

5 tahun lalu

Buku: __________________________________

Majalah: ________________________________

Akhbar:_________________________________

Filem: __________________________________

Rancangan TV: ___________________________

Saluran radio: ____________________________

Hobi:___________________________________

Kawan-kawan:____________________________

Sekarang [ selari dengan perkembangan zaman, aku tambahkan beberapa input ]

Buku: Novel / Motivasi / Agama / Sejarah / Falsafah

Majalah: URTV atau Solusi?

Akhbar: Berita Hairan / Utusan Meloya / Sinar Harian / Metro

Mengekor FB & Twitter: Nelofar?

Blog langganan: kembara poket nipis? hehe

Filem: hantu dalam botol kicap? nongkrong, cangkung, mengkarung?

Rancangan TV: American Idol? Gangstarz? Mentor? Raja lawak?

Saluran radio: Era? Ikim? hotfm? sinar?

Hobi: Konsert? jalan-jalan? makan? tidur? masak?

Kawan-kawan: Facebook? tak ada kawan, anak-anak dan suami adalah duniamu? mak cik keypoh sebelah rumah? mak cik geng surau?

=======================================================================

Cuba lihat kembali, bagaimanakah kita berkembang? adakah kita masih membaca bahan yang sama kategori semasa kita remaja? Masih suka pada novel  cinta remaja? Menonton program yang sama (melodi, muzik-muzik)? Jenis filem yang sama (ringan-ringan, lawak slapstik)? Saluran radio yang sama? masih menggilai lagu-lagu cinta tak keruan? rancangan gosip dan realiti tv nyanyi-nyanyi? lawak kosong? Atau masih suka pergi konsert? atau joget lambak di kenduri kawin?

Atau kita sudah berubah sesuai dengan kematangan? hmm… fikirkan semula

Kita boleh berubah selera kerana kematangan. Akan tetapi perubahan selera pada bahan-bahan input untuk otak dan jiwa itulah yang mematangkan kita. Jadi nak tunggu matang sendiri atau nak cari kematangan? Awas, kalau ditunggu MATANG mungkin tak pernah hadir. Sebab itu kita selalu berjumpa dengan orang-orang tua yang menjengkelkan. Tak pandai beratur bila jalan sesak. Bersenam punggung dihadapan rumah orang.

Secara kita sedar atau tidak, input-input tadi membentuk cara kita berfikir, menangani konflik, reaksi pada persekitaran, visi pada kehidupan, harapan pada keluarga dan anak-anak. Adakah kita selalu gagal membuat pertimbangan yang matang? atau kita selalu emosi? bagaimana kita menapis lambakan maklumat yang menggila? Semua terjawab jika kita selidik semula input yang kita masukkan dalam otak kita.

Aku akui, untuk mendapat bahan bermanfaat dari saluran media utama di Malaysia ni agak payah. Susahnya untuk memilih. Mujurlah sekarang ada internet dan sebagainya. Penerbitan buku pun sudah semakin rancak.

Amboi.. awa ni pon, takkan lah nak seriuss saja. Bukan lah begitu, tetapi kenalah ada keseimbangannya (maklumlah, baru balik dari konvensyen Fiqh, belajar wasatiah hehe). Lawak pon boleh jadi bermanfaat, macam lawak UAI, Ust Kazim (ustaz-ustaz di k-Fiqh tu lawak-lawak belaka :P). Lagu pon boleh cari yang indah di telinga, indah di hati, indah di mata (tak ada penari berseluar pendek!). Perlahan-lahan lah kawan, usaha dan doa semoga kita sentiasa dalam bimbinganNya.

Kata pepatah Arab;

Remaja yang paling baik adalah remaja yang berfikir seperti orang dewasa dan,

Orang dewasa yang paling baik adalah orang dewasa yang bertenaga seperti remaja

You are what you eat. You are what you read. … and now,… you are what you write and share on Facebook! berhati-hatilah 🙂

Cik kasut, bertahanlah sebulan lagi

Cik kasut, bertahanlah sebulan lagi

Tapak kasut aku dah haus. Licin. Beberapa kali hampir tergelincir, JBCS pulak baru tukar lantai. Aku ni jenis pandai pakai sepasang kasut je walaupon aku ada banyak kasut. Bajet bulan ni nak beli kasut baru.

Semalam aku menyertai k-Fiqh. Biasalah, mesti ada gerai buku. Aku tak cari buku-buku yang biasa ada di kedai atau di kedai maya. Aku cari buku rare. Memang banyak jumpa, tapi macammana boleh terberkenan dengan yang paling mahal.>,<|||

Dekat 15 minit aku dok pegang letak pegang letak… pusing2 ke buku lain balik semula, pegang letak, pegang letak. Tenung-tenung sampai nak tembus. Timbang pakai dacing, buat kira-kira sikit ….. tarik nafas panjangggggggggggggg… aku angkat dua buah buku ni dan beri pada si penjual. Senyummm saja dia lihat aku. Mesti dia kata – nasib baik kau beli juga akhirnya, tanya macam-macam bukan main lagi kau ya!

Buku atas terjemahan dari buku Inggeris dan buku bawah terjemahan dari buku Arab. Kedua-duanya dalam versi bahasa Indonesia. Aku memang berangan nak serang Gramedia Jakarta hujung tahun ni, tapi itu angan-angan saja, entah jadi entah tidak. Dari terkilan terus, baik aku sapu je la dulu. Walaupun jika aku beli di sana, harganya mungkin kurang dari 50% dari harga di sini.

Dua minggu lepas aku berhabis kos 2 pasang kasut…. kali ni 3 pasang kasut…. kalau aku tak beli buku-buku ni, aku dapat lima pasang kasut. Hmm…..

Kepada cik kasut, tolonglah bertahan sebulan lagi 😐

Destinasi bajet dari kaca mata si poket nipis

Malam tadi aku tonton ‘ulangan’ Destinasi Bajet. Lama punya, zaman Qhusairi jadi host. Destinasinya, Pulau Pinang. Bagus rancangan ni, beri panduan untuk pergi mengembara dengan budget yang minimal. Percutian 3 hari 2 malam dengan hanya RM300, tak termasuk tambang pergi ke destinasi tersebut.

Soalannya, berapa bajet mereka punya bajet. Di sini, aku beri sedikit idea, bagaimana nak jimatkan lagi duit RM300 tu.

Bajet yang tak bajet dari kaca mata pengembara berpoket nipis:
(aku tak pernah melancong gaya poket tipis ke Penang, ini cuma anggaran secara umum saja)

1. Naik teksi dari perhentian bas express ke KOMTAR – RM5

tet!! naik teksi adalah pilihan terakhir untuk pengembara berpoket nipis. Tambang teksi RM 5, maksudnya KOMTAR tu tak jauh mana pon. Kalau naik bas awam pon mungkin tak lama. Aku anggarkan tambang sekitar RM1 -2.

2. Pergi seorang diri tapi sewa bilik berdua – RM 70×2 malam = RM140

tet!! pergi seorang diri. Penang.. hmm.. duduk asrama sajalah. Satu katil berharga sekitar RM30 saja. Biasanya ada dapur dan mesin basuh. Jadi boleh duduk lama sikit tanpa bawa banyak baju. Kepada yang suka kumpul kawan, asrama macam ni adalah tempat terbaik. Macam-macam warna ada.

3. Pakej wisata setengah hari

tet!! orang Malaysia, berjalan di Malaysia pon nak pakai pakej bagai. Biasakan buat kajian sikit sebelum ke mana-mana destinasi. Tanya kawan atau ikuti mana-mana kumpulan FB berkaitan dengan melancong mewah ataupun bajet. Cari la maklumat di halaman web Tourism Malaysia. Buat apa mereka belanja besar-besar dari duit pembayar cukai kalau kita tak guna kemudahan tu. Pokok pangkalnya jangan malas belajar. Biasanya kos pakej adalah dua kali ganda dari kos pergi sendiri. Lagipon, masa terhad bila ikut tour ni. Dan tempatnya pon sudah ditentukan, mungkin ada yang kita suka ada yang kita tak berminat.

Kalau duduk di asrama, kadang-kala mereka ada sediakan servis ini. Pakej wisata ni biasanya lebih murah jika pergi ramai-ramai. Jadi cari kawan di asrama tu, atau selit sajalah kalau ada orang lain yang pergi. Jimat kos.

Dengan duit yang dijimatkan tu, boleh tambah satu atau dua malam lagi atau beli buah tangan untuk mak dan buah hati.

Berjalan-jalan dalam negara, hal yang susah nak jimat ialah makan. Kalau ke negara lain tu, nafsu makan terkawal sikit sebab halal dan harga. Tapi di Malaysia ni, memanglah paling seronok aktiviti jalan-jalan cari makan.

Okey.. sesiapa ada idea lain, di jemput kongsikan di ruangan komen 🙂

….. ada syarikat penerbitan yang tersesat di sini dan nak ambil aku jadi penulis  rancangan Destinasi Poket Nipis? hehehe

New Zealand 5.5: Sisipan

Perjalanan kami menuju Mt Sunday

A: Mt Somers Town |B:Lake Clear Water |C: Mt Sunday |D: Erewhon Station

Mengapa kami terlepas pandang jalan masuk ke Mt Sunday ketika kali pertama melaluinya?

Aku cuma perasan hal ini ketika memilih gambar untuk kisah ini…. hmmm……

Pelangi merintangi Mt Sunday

Kami pengembara yang sangat beruntung

Seperi yang aku katakan sebelum ini, aku menghadapi kesukaran mencari maklumat tentang Mt Sunday dan lawatan bebas ke “Edoras”. Rupa-rupanya jambatan-jambatan yang merentangi sungai-sungai di kaki Mt Sunday baru saja di bina tahun lalu. Ia dibuka kepada orang awam pada November 2011. Sebelum itu, pengunjung perlu mendapatkan khidmat agensi pelancongan tempatan untuk membawa mereka ke sana.

Selepas aku mengehahui hal ini (ketika aku menulis kisah ini), barulah aku tahu jambatan yang dimaksudkan oleh mak cik di kedai runcit Mt Sommers adalah jambatan-jambatan tersebut. Bukannya jambatan besar yang kami temui pada awalnya.

sumber disini: http://www.doc.govt.nz/about-doc/news/media-releases/2011/no-more-wet-feet-on-journey-to-mt-sunday/

New Zealand 5: Mt Sunday bertanya, adakah kamu hobbit?

Kalau pasal ambil gambar, Nott juara nombor satu. Dia melompat dulu dari van, meluru meninggalkan kami. Aku menyarung baju hujan dan Yatt berpayung. Nott dan Abid menyerah diri begitu saja pada alam. Memandang kembali perbukitan yang kami turuni sebentar tadi, aku terpegun. Indahnya ciptaan Tuhan. Jika aku pelukis, tentu aku lukiskan. Gunung-ganang berlapis-lapis. Pepohon, renek dan rumput berharmoni dengan batuan menghasilkan tumpukan hijau, kuning, jingga dan coklat. Pemandangan ke arah tujuan kami juga dikuasai gunung-ganang yang melatari lembah. Sungai yang mengalir di bawah jambatan ini, bukanlah sungai seperti yang biasa kita lihat di tahah air, bukan sebatang sungai tetapi jaringan alur-alur sungai. Pecahan kerikil dan granit hitam menguasai dasar, namun air sungai tetap mengalir laju meski pon tohor. Seperi jejak anak-anak yang berlarian bebas gembira, berpapasan dan terus berlari sambil menyanyi. Begitulah aliran-aliran sungai bersimpang-siur merentasi satu sama lain. Aku membayangkan, jika datang air bah, aliran-aliran sungai yang damai ini bersatu lalu bertukar menjadi gergasi yang menakutkan.

Pergunungan misteri menunggu kami 🙂

Sebuah RV datang dari arah bertentangan. Ah, mungkinkah mereka baru pulang dari Mt Sunday? Kurasakan kabus ragu-ragu semakin hilang serentak hati semakin girang. Sepasang pengembara orang putih melambai ketika melintasi kami. Kami balas lambaian mereka seolah-olah saling mengenali. Hujan semakin lebat, perjalanan pula belum diketahui hujungnya. Puas bergambar, kami meneruskan perjalanan.

Tertanya-tanyakah kau, apa sebenarnya yang ada di Mt Sunday? Kenapa aku begitu beria-ia mencarinya? Begini ceritanya.

Sejak kami berjaya mendapat tiket kapal terbang dengan kos RM617 seorang untuk perjalanan pergi dan balik, Nott sudah berangan hendak menjejakkan kaki ke Middle Earth. Ya, Middle Earth yang menjadi latar filem Lord of The Ring. Khabarnya, ketika Professor J.R.R Tolkien menulis novel Lord of The Ring, dia mendapat inspirasi dari pengalaman zaman kanak-kanaknya di New Zealand. Dari situ dia membangun imaginasi suatu tempat yang sangat gah, indah dan unik. Diberi nama Middle Earth. Imaginasi J.R.R Tolkien di terjemahkan dalam filem dengan cemerlang oleh pengarah Peter Jackson. Edoras iaitu kota bagi Negara Rohan merupakan salah satu latar terpenting dalam filem tersebut. Di Mt Sunday lah Peter Jackson ‘membina’ Edoras.

Jika kami ini bukan pengembara berpoket nipis, tentulah kami tidak keberatan membayar NZD 250 setiap orang untuk wisata ke Edoras. Tetapi awal-awal lagi aku sudah memberitahu Nott, aku tiada bajet sebanyak itu. Namun, dalam rancangan perjalanan kami, aku meluangkan sehari khusus supaya Nott dapat menunaikan impiannya. Nott keberatan. Kegembiraan tanpa kawan untuk berkongi tidak bermakna, katanya.

Beberapa minggu sebelum bertolak, Nott sekali lagi cuba memujuk. Kebetulan ada diskaun untuk pakej wisata sehari ke Edoras, kini berharga NZD 98. Aku masih keberatan. Sengaja aku melambatkan keputusanku. Yatt dan Abid tidak pernah  menonton Lord Of The Ring, jadi mereka langsung tidak teruja. Sekaligus meletakkan aku dalam keadaan serba-salah. Akhirnya waktu promosi tamat. Aku rasa Nott tentu kecewa. Peluang sekali seumur hidup, katanya ketika memujuk aku. Tak tahu bila lagi kita akan berpeluang kembali ke New Zealand, katanya lagi. Aku rasa bersalah kerana tak dapat menunaikan impian sahabat kembaraku. Kenapalah poket aku ni nipis sangat?

Di dorong rasa bersalah, aku bersungguh-sungguh menjejak Mt Sunday. Aku jelajahi alam maya. Tidak banyak maklumat tentang pengembara bebas. Khabarnya laluan ke Mt Sunday melalui tanah persendirian. Sebab itulah ia hanya boleh dilawati dengan pakej wisata. Apabila harapan semakin menipis, rasa bersalah semakin menebal.  Aku melompat dari blog ke blog, dari forum ke forum. Akhirnya aku temui catatan pengalaman beberapa orang anak muda menjejak Mt Sunday. Aku baca berkali-kali, maklumat terlalu sedikit dan tanda-tanya semakin banyak. Google map pula gagal menunjuk arah ke Mt Sunday. Ah, tak mengapa. Yang paling penting, aku yakin Mt Sunday boleh dijejaki. Aku berdoa meminta Allah jangan kecewakan Nott.

Pemandangan kiri kanan depan belakang sangat mengasyikkan.  Sayangnya tempat ini tidak sepopular tempat-tempat pelancongan yang lain seperti Tasik Tekapo atau Milford Sound melainkan di kalangan peminat siri Lord of The Ring. Sememangnya kami ini suka mencari kelainan dalam setiap pengembaraan kami. Asalnya kami merancang untuk mencuba salah satu trek pendek di Mt Sommers. Tak sangka pula Mt Sunday terletak di kawasan yang sama.

Sekawan lembu menghalang perjalanan kami. Aku berhenti sebab tak tahu apa yang patut kulakukan. Kugerakkan van perlahan-lahan mendekati kumpulan lembu. Beberapa ekor lembu menoleh dua saat kemudian kembali meragut rumput. Langsung tak mempedulikan kehadiran kami. Lembu-lembu ini besar dan hitam legam berkilat. Ada kegerunan bila melihat mereka. Perbandingan saiz lembu New Zealand dan lembu Malaysia seperti fizikal ahli pasukan ragbi All Black dan fizikal ahli pasukan bola sepak Harimau Malaya. Cubalah engkau bayangkan. Melihat mereka tidak mempedulikan kami yang semakin menghampiri, aku berhenti lagi. Tanganku sudah bersedia menekan hon, tapi aku ragu-ragu. Ah, khuatir sungguh aku. Manalah tahu apa respon mereka pada hon kenderaan. Kalau dibuatnya mereka datang kepada kami, apa yang akan terjadi? Di kanan gunung, di kiri cenuram. Sedar yang aku tiada pilihan lagi, aku menekan hon lembut. Tak begitu kuat bunyinya. Lembu-lembu bergerak malas, memberi kami laluan. Saat kami melintas, mereka mengekor dengan pandangan. Melihat mata kawanan lembu sungguh mendebarkan dadaku. Mereka seolah-olah penjaga kawasan tak bermanusia ini. Besar, hitam berkilat, gagah perkasa. Mata mereka seolah-olah memberi amaran supaya jangan sampai kerosakan terjadi di kawasan ini. Ah, adakah aku terlalu banyak berimaginasi?

Atas: Gunung Potts
Bawah: Lembu dan jeram

Hujan sekejap reda sekejap lebat. Mungkin kerana kami berada di celah gunung-ganang, maka kami merasakan taburan hujan tak sama. Jalan semakin sukar dan sempit, pecahan batuan di jalanan semakin besar.

“Awa, berhenti!” Abid tiba-tiba menjerit.

“Kenapa? kenapa? ada apa?” Aku cemas.

“Pelangi, pelangi!” Aduhai Abid. Sangkaku ada binatang melintas. Rupa-rupanya pelangi. Tapi ini bukan pelangi sebarangan, pelangi muncul dari gunung. Benar-benar seperti lukisan di zaman kanak-kanak. Kami tidak turun. Bahu jalan sempit dan hujan pula. Aku berusaha mengubah  kedudukan van supaya kami  dapat sisi pandang terbaik. Seram juga memandu di tepi tebing tinggi begini.

“Awa, depan sikit” Nott pula memberi arahan. “Sikit lagi………. lagi…. sikit lagi… ok!”

Setelah semua orang berpuas hati, perjalanan di teruskan.

“Wa, wa, kejap!” Sekali lagi Abid menahanku. “Pelangi penuh”

Wahhh…. benar-benar pelangi penuh dari hujung ke hujung. Pertama kali aku saksikan dalam hidupku. Aku rasakan seolah-olah aku sedang terapung-apung lantaran seronok dan kagum melihat pelangi. Pelangi adalah simbol keseronokan alam fantasi kanak-kanak.

“Masa kecil-kecil dulu semua orang percaya ada harta karun di hujung pelangi” ujar ku.

“Kalau kita tunjuk pelangi tangan jadi kodong” sambung Nott pula. Kami bertukar-tukar cerita dan dongeng tentang pelangi. Aku selalu tertanya-tanya, siapa yang mencipta cerita dongeng? Bagaimana ia tersebar? Bagaimana tempat- tempat yang secara geografi, budaya dan sejarahnya jauh terpisah boleh mempunyai cerita yang hampir sama?

Bila Nott membaca papan tanda DOC yang menandakan kawasan “Mt Poots”, aku teringat pesanan mak cik di kedai runcit Mt Somers supaya mengikut arah ke Mt Potts. Aku rasa ada sedikit harapan.

Jalan semakin payah. Bukan lagi batu kerikil putih menurapi  jalan, tetapi batu granit hitam berkilat. Pecahannya besar-besar.  Terumbang-ambing van kami, seolah-olah naik sampan saja rasanya. Bunyi pinggan mangkuk berlaga bukan main. Mujurlah pinggan kaca berjenama. Semakin lama semakin perlahan kami bergerak. Ada air mengalir  memotong  jalan di hadapan. Aku mendongak mencari sumbernya. Dari puncak gunung, air mengalir bersama batu-batu hitam. Dengan perbandingan air terjun, ia adalah batu terjun. Batu jenis yang sama di gunakan membina jalan yang sedang kami lalui. Aku bertanya sendiri. Batu-batu ni semua jatuh dari atas sana? Menakjubkan sekaligus menakutkan. Air mengalir terus ke bawah tebing menjadi air terjun kecil yang damai. Bahagian jalan cuma ada batu-batu kecil. Yatt teruja. “Nasib baiklah sejuk, kalau tak nak saja turun main air ” katanya. Dan secara ilusinya, van kami bertukar menjadi kenderaan pacuan empat roda. Selamat kami melintasi jeram kecil.

“Erewhon Station” aku membaca papan tanda yang terpacak di tepi jalan. Nampaknya seperti sebuah ladang. Pergunungan tiba-tiba berakhir, diganti oleh padang hijau di kiri dan kanan. Aku memandu terus sejauh dua kilometer sehingga bertemu jalan mati. Ada sebuah rumah di situ. Rupa-rupanya kami berada di halaman rumah tuan ladang tersebut. Cuak juga aku. Bimbang sekiranya dituduh menceroboh kawasan persendirian. Sebelum ada sesiapa perasan keterlanjuran kami, lebih baik kami segera beredar. Tetapi mengapa kami masih belum berjumpa Mt Sunday? Kami semua sangat kecewa dan keletihan.

Erewhon Station – cuba kau bayangkan, ini adalah halaman rumah kau 🙂

Keluar dari Stesyen Erewhon, jeram kecil kami lintasi sekali lagi.

“Kali ni kita tengok betul-betul, tempat letak kereta dia sebelah kanan. Mesti ada papan tanda” aku tak mahu mengalah.

“Tapi kita tak nampak apa-apa papan tanda pon dari tadi” Abid membalas lemah. Tetapi orang yang paling kecewa tentulah Nott. Kami bergerak perlahan-lahan.

“Eh! Bukan itu ke Mt Sunday?” Nott menarik perhatian kami ke gunung yang terkecil antara gunung-ganang yang megah dan gagah. Gunung tunggal di tengah dataran lembah berumput coklat.  “Batu tu, yang atas gunung tu. Itulah Rohan!” Nott bertambah yakin bila kami semakin mendekati bukit yang dimaksudkan itu. Tapi sebenarnya bukan dekat, masih jauh lagi. “Memang inilah dia, aku kenal benar”. Ah Nott memanglah kau peminat sejati, detik hatiku.

“Masalahnya, macam mana kita nak pergi sana? Macam tak ada jalan je…” Yatt melantunkan soalan. Semua orang senyap tidak menjawab.

“Kita berhenti sini dululah. Apa-apa pon ambil gambar dulu Nott”. Aku membuat keputusan

“Tak apalah kalau tak dapat ke sana, dapat ambil gambar pon dah cukup” Ujar Nott kecewa. Aku diam tetapi hatiku masih tak mahu mengalah. Aku percaya apa yang aku baca. Ya Allah, tolonglah kami. Rintihku dalam hati.

“Macam mana nak pergi sana ek, ada sungai di depan dia tu.” Tambah Yatt lagi.

“Kejap, ada jambatan! Aku nampak  jambatan!” hatiku kembali berbunga-bunga

“Mana? Mana?” mereka bertiga tiba-tiba tidak sabar.

“Tu, kau nampak sungai tu… ikuti sungai tu …. ada jambatan kan? Kalau ada jambatan mestilah ada jalan.Betul tak?”  ujarku lagi. Kukecilkan mata dan fokus pada jambatan yang masih samar-samar. “Nanti, bukan satu jambatan ada dua jambatan. Biar aku kedepan sikit.” Van kugerakkan perlahan-lahan dan hati-hati. “Tu dia, aku dah nampak denainya” Semua orang tambah teruja. Van kugerakkan lagi kehadapan.

“Itu! Papan tanda DOC!” Ah sangat ku kenal papan tanda berwarna hijau dan kuning itu. Kami membelok dan memberhentikan van. Masing-masing terkedu seketika, seolah-olah tak percaya Gunung Sunday sudah dapat dijejaki. Tak sampai lima minit sebelumnya, kami sangka perjalanan hari itu akan sia-sia.

“Peliklah, macammana kita boleh tak perasan tadi?” Abid akhirnya bersuara. “Padahal, tak adalah tersorok sangat tempat ni”.

Kawasan itu berpagar. Ada jalan menuju ke Mt Sunday tetapi dihalang oleh palang besi. Ia membuatkan kami tertanya – tanya. Adakah orang awam dibenarkan memasuki kawasan ini?

Sedang kami bersiap sedia memulakan perjalanan, sebuah land rover berhenti bersebelahan kami. Pemandunya seorang lelaki separuh umur menyapa kami. Nott bertanya sesuatu pada lelaki itu. Dengan senang hati dia memberi tunjuk arah dan beberapa pesanan. Dia membawa seorang penumpang sahaja. Seorang perempuan muda berwajah asia timur.  Lelaki itu membuka kunci manga pada rantai besi yang mengikat palang besi, memandu memasuki kasawan, berhenti sejurus melepasi sempadan, turun dan mengunci semula rantai besi dan meneruskan perjalannya. Ah, Tuhan selalu datangkan penolong ketika kami memerlukan. Bukankah doa orang yang sedang bermusafir itu mustajab?

Rohan dari kejauhan dan Papan tanda Mt Sunday

Di hujung palang besi tersebut, terdapat sebuah pintu kecil. Khusus untuk pejalan kaki. Papan tanda DOC separas peha bertulis:

Trek Mt Sunday -> 2.5km / 45 minit
Sebahagian dari trek ini adalah tanah persendirian
Sila ikut petunjuk 
 

Tanah persedirian? Biar benar? Mataku mengitari sekeliling. Adakah gunung-ganang dan lembah yang amat indah ini adalah tanah persedirian? Siapalah tuan tanah yang sangat bertuah itu kan? Bagaimana rasanya mempunyai tempat sehebat ini? Kami bergilir-gilir mengambil gambar di papan tanda tersebut sebelum memulakan perjalanan. Segala keresahan dan kekecewaan telah hilang, diganti dengan keterujaan dan semangat. Angin sangat kuat dan sejuk namun hujan sudah berhenti. Perlu lebih tenaga untuk berjalan melawan arah angin. Aku cuba berjalan mengikut arah angin, amboi seperti ditolak-tolak rasanya.

“Lajulah kita bila jalan balik nanti” ujarku. Kali pertama aku alami kuasa angin sekuat ini.

Yatt terlompat-lompat kecil melawan kesejukan. Dia tidak membawa jaket tebal. “Sejukkkkkkk gilaaaaa!”  Yatt menjerit.

Dataran lembah menuju Mt Sunday di penuhi rumput tussock. Rumput tussock ini, kalau dilihat dekat-dekat, rupanya seperti rambut gondoruo. Coklat, kering dan mengerbang. Di sini, ia tumbuh sangat banyak dan rapat-rapat. Daunnya meninggi setinggi lutut. Angin yang sentiasa bertiup kencang memperlihatkan aliran gelombang memberi ilusi lautan rumput yang empuk dan lembut.

Land rover tadi langsung hilang dari pandangan. Kami tidak nampak ke mana ia menghala. Denai ke puncak Mt Sunday ditanda dengan pancang kayu setinggi semester yang bercat jingga dihujungnya. Najis lembu bertaburan di sana-sini. Mungkin ini laluan lembu-lembu gagah perkasa tadi. Ada sesuatu yang menarik perhatianku di tanah. Rupanya, najis lembu yang kering ditumbuhi lumut berwarna-warni. Ia seperti hablur-hablur berbentuk heksagon.

“Hey, Rohan! aku di siniiiiii! Aku sekarang berada di Rohan!” Nott tiba-tiba menjerit macam orang gila. Sememangnya waktu itu Nott adalah orang yang paling gembira, dan aku adalah orang yang paling lega. “Mt Sunday lihatlah hobbit-hobbit datang!” Jeritnya lagi.

“Tak dapatlah kita update FB status Nott” kataku. Nott hanya ketawa. “Kami dah rancang ayat untuk status sejak dalam kapal terbang lagi” ujarku bila Yatt memandangku. Tempat duduk Yatt terpisah ketika dalam penerbangan.

“Sengal! haha” komennya.

Dataran menuju kaki gunung Sunday

Aku dan Yatt mendahului Nott dan Abid yang sedikit lambat kerana terlalu asyik berhenti untuk mengambil gambar. Kami sudahpun tiba di jambatan kedua. Walaupon sungai tidaklah selebar mana, tetapi airnya sangat deras. Kalau jambatan pertama tadi dibina sepenuhnya dengan kayu, jambatan kedua pula ialah sebuah jambatan gantung. Lantai jambatan yang diikat dengan kabel besi sedikit terbuai oleh tiupan angin kencang. Had muatan jambatan – satu orang sahaja. Yatt mengambil giliran terlebih dulu. Ketika Yatt tiba dihujung jambatan, Nott dan Abid mendekati aku yang sedang menunggu.

Sungai deras dan jambatan gantung serta model ayu 😉

Tidak jauh dari jambatan tadi, sebuah parit kecil menghalang perjalanan kami. Beberapa ketul batu tersusun merentanginya. Mungkin ia sengaja disusun untuk membolehkan pengunjung melepasi parit cetek selebar tak sampai lima kaki. Yatt Berjaya melepasinya. Aku agak ragu-ragu kerana kedudukan batu yang kelihatan tidak tetap. Nott turut mencuba, pijakan pertama berjaya tetapi pijakan kedua mengenggelamkan sebahagian kasutnya kedalam air parit yang mengalir laju. Namun dia juga berjaya melepasi. Aku dan Abid akhirnya mengalah, kami tak mahu kasut kami basah. Maka kami membuat lencongan kira-kira sepuluh meter ke arah kanan. Terdapat sebuah titi kecil dibina merentangi parit. Sekarang, kami sudah berada betul-betul di kaki gunung Sunday yang sebenarnya hanya bersaiz bukit.

Nott kini mendahului. Kami berjuang melawan angin sejuk dan graviti. Tiada tumbuhan lain hidup di situ melainkan rumput tussock dan beberapa pokok renek yang telah kering sementalah musim sejuk menghampiri. Trek ini secara kasarnya sangat mudah untuk dilalui. Trek landai, tiada akar melingkar atau batu licin dan curam. Tetapi tantangan paling besar adalah angin. Sudahla kuat sejuk pula. Aku cuba-cuba berdiri santai ternyata angin mampu menumbangkanku. Adakah keadaannya begini sepanjang masa? Mungkinkah kerana sekarang ini musim hujan? Kami berhenti beberapa kali. Tak puas rasanya mengambil gambar kawasan lembah dah pergunungan ini.

Ketika setengah perjalanan menuju ke puncak aku mulai rasa tidak selesa. Hawa sejuk yang kusedut menyakitkan pangkal hidungku. Nyeri. Kesejukan ini membuatkan otak serasa membeku. Seolah-olah aku baru menelan sebaldi ais kisar. Semakin mendekati puncak semakin aku terseksa. Ternyata aku tak boleh lagi menarik nafas dengan hidung lalu aku bernafas dengan mulut. Akibatnya aku kemengahan. Kupaksa-paksa diriku mengekori mereka. Nott telah sampai di puncak. Aku kira keterujaan menjadikan mimpi suatu realiti mengatasi segalanya. Wajahnya berseri-seri sejak tadi. Aku ketinggalan beberapa langkah di belakang Abid, adalah orang terakhir yang menjejakkan kaki di puncak gunung Sunday.

Atas: Melawan angin dan graviti | Bawah: Sang juara!

Seterusnya…

Mt Sunday berkata, manisnya gadis Melayu berkain batik 😉