Cuma ada dua orang pekerja di kedai membaiki komputer bimbit itu. Seorang sedang melayani kami dan seorang lagi sedang khusyuk bekerja di hadapan komputernya. Seorang perempuan berbangsa eropah masuk. Gayanya tak seperti pelancong. Dia berpakaian kasual. Berseluar jeans dan berkemeja T longgar. Beg sandang merah tergantung di belakangnya. Ada sedikit racik pada bahagian zip tetapi lubangnya tidak besar. Tangannya menggendong beberap naskah buku tebal.
Pada mulanya aku tidak begitu mempedulikan dia. Aku sangkakan dia juga pelanggan seperti kami. Oleh kerana dia bercakap agak kuat, jadi aku dapat mendengar perbualannya dengan pekerja yang kelihatan sedang tertekan dengan kerjanya. Mereka berbual dalam bahasa Inggeris.
Perempuan Eropah berketinggian Asia itu sangat peramah, sentiasa senyum bila bercakap “Muka kamu sangat pucat!”
“Ya, saya sibuk bekerja setiap hari” lelaki itu membalas lemah.
“Kamu patut keluar mendapatkan cahaya matahari supaya lebih segar dan ceria seperti saya”. Lelaki muda itu cuma tersenyum pahit. “Mungkin esok kamu patut ke pusat” Perempuan itu memberi cadangan.
“Sebenarnya kedai kami buka tujuh hari seminggu, esok ahad dan kedai kami buka seperti biasa”
Tetapi perempuan itu tak berputus asa. “Oh, begitu ke? Tak mengapa. Bila-bila kamu ada masa, datanglah ke pusat. Kamu tahu kan, di sana kamu boleh menyegarkan rohani dan spiritual. Itu sangat penting”. Lelaki itu mengangguk-angguk.
Aku tak dengar pusat apa yang perempuan itu maksudkan. Tapi aku jangkakan tentulah gereja. Perempuan tadi beredar dengan
senyum walaupun keberhasilan usahanya belum dapat dipastikan.
Seminit kemudian, seorang lelaki melangkah masuk. Aku tak dapat pastikan sama ada dia berketurunan Pakistan atau India. Dia berjubah putih, berjambang nipis.
“Muslim?” tanyanya pada pekerja kedai. Pekerja kedai menggelengkan kepala lalu menunjuk ke arah kami. Lelaki tadi mendekati kami. Bahasa Inggerisnya tidak begitu jelas. Namun aku memahami yang dia mendakwa dirinya memungut derma untuk muslim di Kashmir. Taktik biasa pemungut derma, dia menunjukkan gambar – gambar yang didakwanya anak-anak muslim di Kashmir. Begitu susah untuk aku mempercayainya. Dia menggesa dan menekan suaranya. “Kamu orang Islam.” Dia buat muka kecewa. Beranggapan kami tiada keperihatinan terhadap sesama saudara muslim.
Mengingatkan perempuan Eropah tadi – aku terbayang senyumannya – aku rasa seperti diejek. Dan lelaki itu masih berdiri memandangku. Tiba-tiba aku jadi malu pada dua orang bukan Islam di dalam kedai itu. Aku segera memberinya duit supaya dia cepat-cepat pergi. Dia membuka beg bimbitnya dan aku masukkan duit ke dalam beg itu. Walaupun aku sebenarnya ingin bertanya lagi tentang “misi” yang dia jalankan. Aku langsung tak dapat mempercayainya hanya dengan gambar.
Lewat petang itu, kami mendapat panggilan. Pekerja kedai meminta kami mengambil semula komputer riba yang telah siap dibaiki hari itu juga kerana mereka tiba-tiba membuat keputusan untuk bercuti esok. Aku terbayang muka perempuan Eropah tadi, aku melihat dia tersenyum menyambut kedatangan seorang lelaki di pusat aktiviti mereka. “Terima kasih kerana sanggup meninggalkan kerja dan menyertai kami, kamu tak akan kecewa” Mungkin itu yang dia ucapkan bila mereka bersua esok.
Hal ini sanggat menggangu fikiranku. Perempuan Kristian yang datang berdakwah dan lelaki muslim yang datang meminta derma. Dalam drama pertarungan kecil ini, Islam yang agung telah kalah. Aku malu dan kecewa. Lebih mengecewakan, aku… sebenarnya tidak lebih baik dari lelaki peminta sedekah itu. Aku malu dengan diriku sendiri…