New Zealand 2: Rakaia Gorge berkata, jika kau merasa takut, pandanglah ke atas :)

Jam 5.40 petang, telah masuk waktu maghrib. Namun langit dan tanah masih cerah. Perjalanan ke Rakaia Gorge mengambil masa hampir sejam setengah. Itu yang aku risaukan. Pertama, bimbang kami tak dapat menjumpai kawasan perkhemahan tersebut kerana hari sudah gelap dan kedua bimbang mereka tidak membenarkan daftar masuk lewat. Dari maklumat yang aku baca kebanyakan kawasan perkhemahan, mereka tidak menerima pelanggan selepas jam 8.30 malam. Ketika musim panas, matahari terbenam sekitar jam sembilan malam. Sebab itu aku tak pasti waktu daftar masuk lewat di  musim ini kerana siangnya pendek.

Kami melewati Scenic Highway 72. Lebuhraya dua lorong membelah padang ragut rata nan hijau. Gunung-ganang yang gagah melatari padang di sebelah kanan. Kambing biri-biri bertebaran, banyak tak terkira. Pagar rendah berdawai menghalang biri-biri melintasi lebuhraya. Walaupun hari beransur gelap, biri-biri masih meragut. Sesekali kami melewati kawanan lembu. Padang ragut menganjur berpuluh-puluh kilometer.  Sebagai penanda sempadan antara ladang, pokok pain di tanam rapat-rapat dua hingga tiga baris. Kalau hari masih cerah, tentu lebih cantik pemandangan di sini, bisik hatiku. Langit belum gelap sepenuhnya ketika aku lihat bulan telah terbit di atas gunung batuan yang berbalam-balam seperti gergasi yang sedang tidur.

Kawasan padang ragut tamat. Hari sudah gelap, dan tiada lampu jalan. Pokok-pokok tumbuh rapat di pinggir jalan membuat suasana agak menyeramkan. Abid memperlahankan pemanduan.

“Kawasan perkhemahan tu di sebelah kiri, lima ratus meter dari jambatan” Aku mengingatkan Abid.

Bila diingati, lucu pula. Lagak aku tak seperti orang yang datang kali pertama. Mana tak nya, berbulan-bulan kami menelaah rancangan perjalanan ini. Oleh kerana aku dan Abid sudah berkali-kali menelaah Google map untuk ke Rakia Gorge, setiap simpang yang kami lalui seolah-olah telah kami kenal benar. Begitulah jika kembara, perjalanan hari pertama sangat penting. Jangan sesekali pergi tanpa hala tuju. Lebih-lebih lagi bagi pengembara wanita.

Kebanyakan jambatan di New Zealand rupanya cuma mempunyai satu lorong. Perlu sangat berhati-hati ketika melintasi jambatan. Pastikan tiada kenderaan lain berada di atas atau di hujung jambatan. Sekiranya ada, tunggulah giliran dengan sabar. Sesetengah jambatan yang lebih panjang mempunyai tempat berhenti di tengah-tengah.

Kami nampak papan tanda tempat pelupusan sisa perkhemahan. Mungkinkah ini tempat yang kami cari? Abid membelok walaupun ragu-ragu kerana tempat itu gelap gelita. Van berhenti di halaman  sebuah bangunan kecil, gelap tak berpenghuni. Kami keliru. Ada papan tanda menyatakan “Di larang berkhemah”. Kami tambah keliru. Tak seorang pon berganjak dari tempat duduk. Akhirnya, Abid memandu keluar dari kawasan tersebut dan meneruskan perjalanan. Beberapa ratus meter kemudian, kami berjumpa lagi dengan sebuah jambatan.

“Mungkin ini jambatannya” kataku perlahan.

Abid memandu berhati-hati. Dalam gelap pekat, lampu van menyuluh papan tanda “Kawasan Perkhemahan Rakaia Gorge”. Tiada lampu dan pokok-pokok disekitar hampir melindungi papan tanda tersebut. Abid membelokkan van. Jalan batu tidak berturap. Gelap gelita. Kami masih tertanya-tanya. Adakah ini tempatnya? Beberapa meter di hadapan, bertemu simpang kecil, tetapi laluannya ditutup dengan palang besi. Ada tanda bertulis “Tidak dibenarkan masuk” Ah, malam pertama sudah begini mendebarkan.

“Mungkin ke depan lagi” aku cuba menenangkan kawan-kawan ku, sebenarnya aku menenangkan diri sendiri. Van bergerak perlahan dan hati-hati. Kami nampak cahaya. Ia adalah sebuah bas. Lampu dalam bas menyala menandakan ia berpenghuni. Mengikut maklumat yang aku kumpulkan, Kawasan Perkhemahan Rakia Gorge di selenggarakan oleh komuniti Rakaia Gorge. Penjaganya tinggal di dalam bas hijau yang telah diubah suai menjadi tempat tinggal. Sungguh, hatiku separuh lega. Aku mengesahkan pada mereka, inilah tempat yang kami cari.

“Di mana tapak berkhemah ni? Letak van di sini boleh ke?” Tanya Abid. Sia-sia saja soalan Abid kerana tak seorang pon dapat memberikan jawapan yang pasti. Akhirnya, dengan separuh yakin Abid mengambil tempat lima meter dari bas tadi. Bersebelahan kami ada sebuah kereta kecil, rupa bentuk kereta itu seperti kereta Perodua Kelisa. Nott segera turun lalu menuju ke bas hijau. Aku nampak seorang lelaki dan seorang perempuan sekitar lima puluhan di dalam bas itu. Bila Nott kembali dan mendekati van, aku membuka pintu gelongsor. Angin menerpa masuk.

“Ohh… oh.. sejukkkkkkkkkkkkkkkk” aku separuh menjerit.

“Betullah ini tempatnya, pak cik tu kata letak duit dalam kotak di sana” beritahu Nott.

Aku tak tahu mana yang dimaksudkan dengan “sana”. Aku tak Nampak apa-apa selain gelap. Nott meminta lampu suluh. Abid menemankan Nott mencari kotak yang dimaksudkan pak cik tadi. Yatt duduk diam, aku tak tahu apa yang dia fikirkan. Mungkin suasana tapak perkhemahan itu yang agak menyeramkan. Nott dan Abid kembali semula ke van dan bersiap-siap untuk ke tandas.

Aku dan Yatt berkemas ala kadar dan menyusun apa yang patut. Secara kasarnya, van ini terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pemandu, bahagian tengah yang menjadi bilik tidur pada waktu malam dan bahagian dapur di belakang sekali. Bahagian tengah mempunyai satu sofa katil, melekat pada belakang kerusi pemandu. Sofa ini mempunyai ruang penyimpanan rahsia di bawahnya. Jika ditarik sepenuhnya, ia akan mencecah hujung kerusi penumpang yang berada selari dengan hujung bukaan pintu van. Kusyen sofa yang berlipat secara automatik menjadi rata. Kemudian sebuah kusyen kecil perlu diletakkan antara kerusi penumpang. Maka jadilah ia sebuah katil kelamin yang agak selesa. Bahagian dapur dilengkapi kabinet di kedua-dua bahagian dinding sisi. Dapur gas dua tunku terletak di sebelah kanan, jika kita berdiri menghadap bahagian pemandu. Permukaan dapur bertutup pintu kaca tahan lasak. Menjadikannya sekaligus meja kerja.  Di bahagian bawah dapur gas ditempatkan peti sejuk mini dan tong berisi bekalan air bersih yang akan digunakan di sinki yang terletak pada kabinet sebelah kiri. Pam air perlu dihidupkan untuk mengalirkan air ke paip sinki. Terdapat laci kecil menyimpan sudu dan garfu di atas peti sejuk.

Permukaan atas kabinet bersebelahan sinki yang comel itu pula ada sebuah pintu kecil. Di bahagian dalamnya disimpan beberapa saiz mangkuk plastik, periuk, kuali, sudip,pisau dan papan pemotong. Selain itu cerek, span, berus kecil, dan kain lap juga disediakan. Satu lagi unit kabinet terpaku pada diding van, di bahagian atas sinki. Empat set pinggan, cawan, mangkuk dan gelas disimpan di situ. Kecuali gelas plastik, yang lain adalah kaca berjenama Perancis yang tak mudah pecah.

Kawasan perkhemahan  Rakaia Gorge tidak menyediakan tapak berelektrik. Kami berharap, suhu tidak akan terlalu sejuk malam itu.

Nott dan Abid telah kembali dari bilik air. Abid membentang tikar di sisi luar van, bersiap-siap untuk menunaikan solat.

“Bilik air mana?” tanyaku.

“Sana tu!” ujar Nott menunjuk ke satu arah.

“Sana?” Aku tak nampak apa-apa. Hitam. Gelap pekat. Angin sejuk menerpa. Aku kesejukan.

“Kau jalan terus saja, nanti kau nampaklah” ujar Nott lagi. Dia sudah kesejukan kerana basah oleh wuduk.

Aku dan Yatt berjalan perlahan-lahan. Kami bercakap-cakap untuk menenangkan hati yang sedikit cuak. Rupanya tak lah begitu jauh tandas yang dimaksudkan. Tandas berkeadaan baik dan bersih. Tiada tempat mandi dan satu-satunya paip air berada disinki. Bagi kita muslim, kita perlukan air untuk beristinjak.  Jadi, bawalah botol plastik ke mana-mana. Ringan, kecil dan praktikal. Di tandas itu, lampu pon tak ada, apa lagi pemanas air. Kalau kau nak tahu betapa sejuknya air wuduk kami malam itu, boleh cuba cara ini. Isi separuh baldi dengan ais, penuhkan air dan tunggu sepuluh minit. Kemudian kau berwuduklah.

Aku orang terakhir menunaikan solat. Berseorangan di luar van.  Usai solat, aku duduk sebentar menatap langit dan aku senyum sendirian. Sudah agak lama tak kulihat bintang sebegitu gemerlapan. Beribu-ribu bintang di atas sana bersama bulan yang belum dewasa. Kegelapan malam itu menaikkan sinar bintang. Angin bertiup agak kuat, semakin lama semakin sejuk. Aku mengalah. Segera kukemas tikar yang digunakan mengalas rumput. Aku lipat dan kuselitkan di kaki cermin sisi van.  Lalu menyertai kawan-kawanku berehat.

Ya Allah, kami bersyukur engkau pelihara kami sehingga saat ini. Bantulah kami sepanjang perjalanan ini.

Aku berharap, esok dapatlah aku menatap sungai Rakaia Gorge yang biru.