Jiwaku separuh sedar. Kudengar kicauan burung. Jelas dan kuat, seolah-olah sang burung sedang mengepak-ngepak di sebelah telingaku. Hmm… bukan burung, tetapi burung-burung. Semakin kuat bunyi melantun-lantun digegendang telingaku. Merdu dan harmoni. Mungkin kicauan paling indah pernah aku dengari. Aku tertanya-tanya, dimanakah aku?
Mataku terbuka, spontan aku menyelak tirai. Alamak! hari sudah terang! Aku mahu bangun tetapi terkongkong oleh ruangan tidurku yang sempit. Antara tilamku dan bumbung van cuma setinggi satu kaki setengah. Aku menggerakkan Nott di sebelah, memanggil Yatt dan Abid yang tidur di bawah. “Bangun, bangun, hari dah terang!” laungku beberapa kali. Semua orang bangun dan terkejut. Aku minta izin turun dan Abid memberi laluan. Kelam kabut kami semua ke tandas lalu mengejar subuh yang entah ada lagi entah tidak. Penghuni bas hijau bangun lebih awal dari kami. Aku nampak mereka menikmati sarapan berdua di dalam rumah mereka yang unik itu.
Waktu ini jam di tanah air baru menjejak tiga pagi. Mungkin itu sebabnya kami tak sedar. Walhal malam tadi kami tidur agak awal. Maklumlah, tiada apa yang hendak dibuat. Bateri netbook sudah kehabisan sejak dalam kapal terbang lagi. Nak main game di talifon? Jangan cari pasal. Perlu berhemah menggunakan bateri. Lagi pula, aku tak ada kamera. Bergantung pada talifon saja. Sudahnya, tak ada apa yang kami lakukan selain membaca brosur-brosur yang Nott ambil dari i-Site. Tak begitu menarik kerana semuanya ada “harga”. Sudahnya, kami berborak-borak kosong sehingga tertidur.
Walaupun kami berkelana bersama hampir saban tahun, tapi kami tidak selalu berjumpa. Aku di Johor, Yatt di Sabah, Nott di Kuala Lumpur dan Abid di Selangor. Kami mempunyai kehidupan masing-masing. Sesekali bila Yatt balik ke Johor kami keluar makan-makan. Bila aku perlu bertugas di Selangor, aku menziarahi Abid. Perbincangan kami, melalui Facebook atau talifon. Begitulah kami. Jauh tapi dekat.
Mak Cik penghuni bas hijau sudah pon turun tanah. Aku melambainya. Dia membalas senyumanku.
“Hey, kamu baik-baik saja kan?” laungnya.
“Ya, kami okey saja” balasku mesra.
“Dapat tidur nyenyak malam tadi?”
“Ya, tapi agak sejuk”.
Kami kembali mengerjakan urusan masing-masing.
Sarapan sudah siap dimasak. Picu pada tong gas perlu dibuka setiap kali menggunakan dapur dan pastikan ia ditutup semula apabila selesai menggunakannya. Pintu akses kepada tong gas terletak selari dengan bahagian pemandu. Api dapur tak begitu besar, ambil masa sedikit walaupon untuk mendidihkan air dalam cerek kecil. Mee hon sup segera saja menjadi juadah sarapan pagi itu. Malam tadi kami cuma menjamah roti bersama sambal ikan bilis yang emak Yatt bekalkan. Pagi ini, berlauk sambal ikan bilis lagi. Mujurlah semalam kami sempat membeli telur dan susu.
Hamparan rumput hijau, bangku dan meja putih, pokok renek. Burung-burung berterbangan rendah, berkicau riang, berebut-rebut mematuk buah-buahan kecil di pohon renek. Pohon teduhan berdaun lebat, udara segar, hawa dingin. Pejamkan matamu. Dapatkah engkau bayangkan? 🙂
Semua itu menjadikan sarapan kami lebih enak dari biasa. ^_^
Sebuah kenderaan pacuan empat roda memasuki kawasan dan berhenti berdekatan tandas. Seorang lelaki berbaju biru tua berumur awal lima puluhan keluar menjengah tong-tong sampah di belakang tandas. Walaupun ia kawasan pembuangan sampah, namun ia bersih dan kemas. Semua sampah siap terasing dalam tong-tong kitar semula.
“Aku nampak macam ada banyak campervan la di sebelah sana tu” Abid bersuara.
“Itulah, aku rasa ada tempat lain untuk berkhemah ni. Dalam gambar di internet tu, ada sungai… errr.. macam kawasan delta. maksud aku, kawasan sungai tu besar dan luas! ” aku meluahkan rasa curiga. “Kau orang dengar tak, kalau kita di bilik air tu, macam ada bunyi sungai” tambah ku lagi.
“Lepas makan ni, kita pergi tengok lah” Yatt memberi saranan. Dia menguis saki baki sambal ikan bilis.
Lelaki berbaju biru melewati kami, dia mengangkat tangan dan mengucapkan selamat pagi. Dia menuju ke arah bas hijau.
“Aku nak ambil gambar dekat-dekat sini dulu”. Nott yang habis-habis memetik kamera sejak tadi pun tak mahu ketinggalan. “Kita terus pandu masuk kawasan tu boleh ke?”
“Entah la… ” jawabku datar.
“Tadi kau tanya apa dengan pak cik tu?” Abid mengubah topik.
“Pasal bilik mandi… dekat website kata ada. Tapi pak cik tu kata sekarang tak buka” jawabku.
“Tak apalah, kita sama-sama tak mandi. Baru satu hari saja” Nott mencelah.
“Kali terakhir aku mandi… pagi kelmarinlah. Kan aku kerja separuh hari, dari pejabat aku terus naik bas ke KL. Semalam seharian dalam perjalanan. Rasa semacam saja ni”
Oleh kerana aku dan Yatt telah menyediakan sarapan, sekarang giliran Nott dan Abid pula berkemas. Aku mahu melihat Honesty Box dari dekat. Walaupun kawasan ini mempunyai penjaga, duit bayaran tapak perkhemahan sebanyak NZD 7.50 seorang di letakkan sendiri oleh pengunjung di kotak ini. Yatt, Abid dan Nott bergilir-gilir mengambil gambar di papan tanda Rakaia Gorge. Aku segera menyertai mereka.
“Kak Awa, Rakaia Gorge la buka George!” Yatt bersuara.
“Haaa..??? apa?” aku mendekati papan tanda.
“Gorge bukan George” ulang Yatt. “Patutla pegawai imigresen semalam tak faham-faham”
Ha ha ha. Dalam pada aku mengingat banyak info tentang Rakaia Gorge, tatepi aku tetap silap pada hal yang paling penting, namanya. Aku sangkakan Rakaia George tentulah nama seorang perempuan yang diangkat menjadi nama tempat. Punyalah berlagak pandai. Gorge bermaksud kawasan lembah dan sungai yang terletak di antara gunung-ganang.
Empat orang perempuan muda berdiri terpegun dengan pemandangan yang terbentang di hadapan mereka.
“Cantik gilaaaa…..” Nott bersuara perlahan.
“Ahh… kalau kita berkhemah di sini semalam, bangun pagi saja kita menatap pemandangan ni” aku meluahkan kekesalan.
“dan.. lihat matahari terbit” sambung Abid layu.
“Ini mungkin baru lima persen saja dari semua kecantikan New Zealand. Hey, kita baru hari kedua!” Yatt cuba menceriakan kami.
Kami berdiri di tebing. Di hadapan kami sebuah dataran berbatu nan luas. Rumput hijau tumbuh sejemput-sejemput. Dataran batu putih menyerlahkan kebiruan air Sungai Rakaia Gorge yang membelah kawasan lembah, melengkung pada sebelah kanan kami. Tebing di situ lebih tinggi. Pemandangan kami terbatas di situ. Rumpunan lalang berdaun halus melindungi tebing. Daunnya lebat berwarna coklat separas betis berombak-ombak ditiup angin.
Kawasan perkhemaham Rakaia George, berpermaidani rumput hijau. Kiraku, kawasan itu boleh menempatkan lebih dari sepuluh campervan dalam satu masa. Khabarnya tempat ini popular menjelang musim memancing ikan salmon. Asalnya ada tiga campervan berkhemah di situ. Satu telah pergi meneruskan perjalanannya. Sungguh kami mencemburui mereka. Hai, aku rasa tak puas berdiri di tebing. Hinggalah Yatt mengingatkan kami supaya cepat bergerak kerana hari semakin siang. Jam hampir pukul sepuluh pagi.
Kami bergerak dengan van, berpatah balik ke jambatan Rakaia Gorge. Kami temui permulaan jejak Rakaia Gorge (Rakaia Gorge Walk). Kami tidak bercadang melakukannya tapi kami menyusur juga kira-kira dua ratus meter. Sayangnya kawasan sungai tak bisa di dekati. Dari hujung jambatan yang satu lagi, lebih jelas kebiruan air sungai Rakaia Gorge. Selepas setengah jam menghabiskan masa di situ, kami bergerak ke Gunung Sommers. Aku mengambil tempat duduk pemandu. Melihat pergunungan indah di hadapan membuat hati kami melonjak-lonjak tidak sabar.
“Berapa jauh lagi Mt Somers?” Tanya Yatt saat tayar mula berpusing.
“Lebih kurang setengah jam” Ah.. aku dan serba tahuku.