New Zealand 4: Mt Sommers berkata, perhatikan arahmu

GPS mengarahkan kami belok ke kanan. Aku menjeling jam. Tiga puluh lima minit melepasi sepuluh pagi. Aku membelok perlahan-lahan. Kelihatan di sebelah kanan, sebuah bangunan kayu setingkat bercat putih bergaya kedesaan Inggeris. Papan tanda kecil bertulis “Mt Somers General Store” terpaku dimuka kedai. Beberapa petak tempat meletak kenderaan di seberang jalan. Satu telah ditempati. Aku mengambil satu petak kosong.

Di seberang padang bertentangan dengan tampat kami meletak van, kanak-kanak sekolah riang bermain di halaman sekolah. Kelihatan juga sekumpulan lelaki bekerja bersama sebuah jentera, mungkin sedang membaiki jalan. Tiga pokok maple berdaun jingga dan merah berderet tetapi jarang-jarang. Matahari terang.  Udara segar dan nyaman mungkin sekitar 17 darjah celcius.

Aku yakin, inilah kedai yang aku baca diinternet. Di sini, kami boleh dapatkan maklumat tentang Mt Sunday. Sekali pandang, bangunan kedai ini sudah menarik hati. Kerangka pintu dan tingkap yang mengapitnya dicat dengan warna hijau lumut. Bukanlah tingkap sebenar, kerana ia tidak berdaun. Lebih tepat ia adalah bahagian dinding kaca telus cahaya. Sebahagian dari dinding kaca itu digunakan sebagai papan kenyataan komuniti. Dihujung dinding sebelah kiri tersusun enam lajur dan enam baris pintu kecil bercat merah. Ia adalah peti-peti surat. Maksudnya, rumah di sini tidak melebihi tiga puluh enam buah. Sebuah peti pos berdiri di sisi. Basikal buruk, pam miyak antik dan beberapa tong dan tempayan pelik memenuhi di kaki lima kedai. Ada juga bangku dan meja. Bersebelahan kedai ialah stesyen petrol. Cuma ada dua pam petrol dan rupanya sangat pelik. Mungkin rekabentuk zaman John Travolta.

Bau harum menyegarkan hidung kami tatkala melangkah masuk ke dalam kedai. Dua wanita separuh umur menyambut kami mesra dengan bertanya khabar.

Bahagian dalam kedai lebih menarik. Ia bukan kedai biasa tetapi ia adalah galeri barangan antik. Segala macam barangan antik terjaga rapi di susun di atas rak-rak kayu yang menampung barangan jualan.  Selain fungsinya sebagai kedai runcit dan pusat pos, tiket pondok DOC boleh dibeli di sini. Mt Somers terkenal sebagai lokasi tramping. Perjalanan mengelilingi Mt Somers biasanya mengambil masa kira-kira empat hari. Pondok-pondok DOC adalah tempat penginapan serba ringkas yang dibina di sepanjang laluan perjalanan tersebut. Di sudut kanan, sebuah meja dikhususkan untuk  peta dan brosur DOC.

Mt Somer Store

“Nott, tengok ni!” aku seperti ingin melompat. “Mt Sunday!” aku menunjuk peta besar yang ditampal di dinding. Laluan dari pekat Mt Somers ke Mt Sunday di tanda lebih jelas. Label Mt Sunday juga di tulis semula lebih besar.  Ah, tentu ramai orang yang telah pergi ke sana seperti kami. Maksud aku memandu sendiri tanpa jurupandu.  Kebimbangan aku sejak beberapa minggu lalu beransur kendur. Apa yang aku bimbangkan? Akan kuceritakan nanti.

Kami membeli serba sedikit barang runcit untuk bekalan beberapa hari. Roti, gula, teh, minyak masak dan sebagainya. Sementara menunggu Abid dan Nott menyelesaikan urusan bayaran, aku mengambil peluang menyapa penjaga kedai.

“Can we drive up to Mt Sunday?” tanyaku pada wanita berambut perang.

“Yeah sure, there is a bridge” Jawabnya ramah

“How long will the journey take?”

“An a and a half”

“…….. err …an what? ….. Do you mean half and hour?”

“An a and a half” ulangnya tanpa belas kasihan. Aku kerut-kerut dahi kerana tak faham apa yang dimaksudkannya. Baru aku hendak bertanya kembali Yatt menepuk bahuku. “Sejam setengah, an A and a half”. Yatt menekankan bunyi A

Bingung. Aku mencari jawapan di wajah Yatt.

“Oooohh… ooo.. ok ok” aku meanggangguk-angguk. Sengih menyembunyikan rasa malu. Dalam hati aku mentertawakan kebodohan sendiri.

“Just follow the map, it is not difficult to find it, just go straight” dia merujuk pada helaian peta yang aku pegang.

“Oh, thank you so much”

………………………………

Aku seronok bukan main sebab akan dapat menjejak Mt Sunday, Abid seronok sebab dapat beli banyak keropok kentang. Namun, keterujaanku putus saat kami bertemu simpang tiga 500 meter dari kedai. Kami mula bingung. Ish… katanya terus saja.. gumamku sendiri.

Kanan atau kiri? Aku ambil simpang kiri. Beberapa meter kemudian, kami sedar yang sepatutnya kami pergi ke arah bertentangan. Aku buat pusingan U dihadapan dewan komuniti Mt Somers. Kemudian terus bergerak hingga ke hujung jalan. Tiada kenderaan jadi dapatlah kami berbincang dan mengemukakan hujah masing-masing. Pandang depan, kami lihat pemandangan gunung-ganang. Bila pandang ke kiri, kami nampak tanah datar. Tetapi peta menunjukkan kami harus belok kiri. Semua orang berhujah tapi stereng di tangan aku. Akhirnya aku membelok ke kiri.

“Betul ke ni? Tapi ini ada papan tanda Mt Somers Woolsheed Creek ni dan Mt Potts… ” aku masih ragu-ragu. Tak ada orang lalu lalang untuk ditanya. Kenderaan pon tak ada. Sunyi betul pekan ini.

Semakin lama pergunungan semakin jauh. Jalan di hadapan rata seratanya. Macam tak logik pula. Mulalah masing-masing berhujah. Nak teruskah, atau nak pusing balik kah? Akhirnya kami sepakat untuk balik semula ke kedai runcit.

“Baik kita tanya mak cik tadi tu betul-betul. Sejam setengah, kalau kita sesat memang cari nahas namanya” Yatt menjatuhkan hukuman. Yatt orang yang aku paling percayai tentang hal ehwal mencari arah. Dia cekap membaca peta dan tak keliru kiri dan kanan. “Pusing sini saja kak Awa, Malaysian style!” Yatt memberi lesen.

Memanfaatkan jalan masuk sebuah rumah ladang, sekali lagi aku buat pusingan U. Agak sukar hendak membuat pusingan U. Kerana jalan tak begitu lebar dan tiada bahu jalan. Mujur tiada kenderaan lalu lalang waktu itu.

Dalam kalut malut, aku tersalah ambil simpang, jadi kami berpusing-pusing di dalam kawasan perumahan. Semua rumah di sini setingkat. Rumah kayu gaya Inggeris. Sederhana dan comel. Halaman terjaga dan bersih. Tiada rumah yang berpagar. Pekan Mt Somers ni tak padan dengan kecil tapi sesat juga kami dibuatnya. Aku memberhentikan van di hadapan kedai. Semua orang turun kecuali aku. Malaysian Style lah katakan. Ha ha.

Tak sampai tiga minit, mereka bertiga kembali semula.

“Betullah jalan kita tadi” Yatt bersuara sebaik saja pintu van dibuka. “Ikut hala ke Mt Potts, sampai di jalan tadi, teruuuuuuuuuuuuuuuuus saja”

……………

Jalan Ashburton Gorge Road tegak dan rata, aku memandu dengan selesa sambil berborak-borak dengan Abid. Tak lama, muncullah gunung-ganang dihadapan mata. Warna coklat menguasai sementalah sekarang musim luruh. Dua puluh minit memandu dari pekan Mt Somers, jalan berturap tamat dan bersambung dengan jalan berbatu. Sepintas lalu aku nampak papan tanda “Lake Clear Water” dan tujuk arah ke kiri. Yatt, Nott dan Abid serta merta duduk tegak. Mereka nampaknya gelisah. Aku tenang saja kerana aku percaya apa yang aku baca.

“Betul ke ni wa?” Abid meluahkan rasa risau.

“Betul, aku pernah baca memang kena lalu jalan ni. Lagipon kita belum jumpa jambatan lagi kan?”

“Ha, itu jambatan!’ kata Abid teruja.

“Mana? Tak nampak pun!”

Aku tak dapat menahan ketawa ketika kami melalui jambatan sepanjang satu meter. Abid tersengih-sengih. Tak kan lah jambatan ini. Rupa seperti jambatan tetapi ini bukan jambatan, tapi bahagian jalan yang di tinggikan sedikit. Mungkin melewati paip air di bawahnya. Tak ada sungai atau parit pon di bawah jambatan tersebut.

Hujan mulai turun ketika kami melewati Tasik Camp. Jadi kami tak dapat turun mengambil gambar. Ada banyak kemudahan penginapan kawasan itu. Perjalanan di teruskan. Jalan tak berturap ini bernama Jalan Hakatere Potts.

Jalan berbatu memaksa aku memperlahankan van. Kadangkala permukaan jalan elok, batunya serata. Seringkali batu-batu kerikil putih berhimpun di tengah dan sisi jalan. Agak sukar mengawal tayar.  Walaubagaimananpun, aku betul-betul menikmati pemanduanku. Semakin lama, pemandangan pergunungan semakin cantik. Rasa tak cukup dua biji mata. Hendak melihat sekeliling, hendak melihat langit, hendak memerhatikan jalan. Ah… inikah New Zealand yang digembar-gemburkan orang? Memang kejadian Tuhan paling cantik. Jalan ini seolah-olah tamat di celahan gunung yang jauhnya saujana mata memandang. Tetapi bila sampai ke gunung tersebut, jalan masih saujana mata memandang dan ada gunung-ganang lagi menanti di depan. Begitulah berulang-ulang.

“Abid, kau rasa suspen tak? Dah lama kita jalan ni, tak tahu sampai mana” tanyaku bila lihat Abis semakin tak senang duduk.

“Mestilah” jawabnya pendek. Abid membuka bungkusan roti berkrim, mematahkan separuh dan menghulurkannya pada ku.

Jalan berturap semula ketika kami melalui satu selekoh di perbukitan.

“Jambatan!” laungku mengejutkan kawan-kawan yang terlelap-lelap dek terbuai oleh goyangan van dan cuaca dingin. “Abid, ini barulah jambatan! Ha ha” sebuah jambatan besar merentangi jaluran sungai. Aku memberhantikan van di sisi jalan. “Kawan-kawan, jom kita ambil gambar dulu” ajakku. Hujan masih renyai-renyai.

Akan datang: Mt Sunday berkata ……………..

New Zealand 3.5: Sisipan

Sungai Rakaia

Sungai Rakaia adalah salah satu sungai bertocang terbesar di New Zealand. Kenapa ia dipanggil sungai bertocang? Sebab ia mempunyai banyak aliran yang mengalir di satu dasar yang luas. Aliran-aliran ini saling bersilang antara satu sama lain. Batu kerikil memenuhi ruang antara silangan ini. Jambatan terpanjang di New Zealand merintang Sungai Rakaia sepanjang hampir 1.8km.

Sungai Rakaia mengalir sejauh 150km dari Southern Alps, melalui dataran Centebury  ke lautan fasifik di sebelah pantai timur South Island. Southern Alps adalah banjaran gunung yang mengunjur hampir sepanjang South Island. Sungai Rakaia sangat terkenal dengan ikan salmon dan trout. Musim salmon sekitar Januari hingga Mac manakala musim trout bermula November hingga Febuary.

Air Sungai Rakaia bersumber dari cairan Glacier Lyell dan Glacier Ramsey. Ketika zaman ais, glasier bergerak menuruni pergunungan lalu mengukir lembah sungai. Selain itu, aliran tersebut juga membawa bersamanya kerikil glasier. Hasilnya, sungai bertocang dengan dasar yang luas terbentuk. Dataran Centebury juga dibentuk oleh kerikil glasier.

Dari hulu Sungai Rakaia
Gambar dari internet, klik untuk maklumat lanjut
Hilir Sungai Rakaia menuju muara .
Gambar dari internet, klik untuk maklumat lanjut

Rakaia Gorge (Gaung Rakaia)

Kawasan lembah bergaung, berada diantara kawasan pergunungan dan dataran Centerburi dimana Sungai Rakaia mengalir.

Pemandangan dari trek Rakaia Gorge
Gambar dari internet

Pekan Rakaia dan Rakaia Gorge adalah dua tempat berbeza. Jika anda bertolak dari bandar Christchurch, Rakaia Gorge berada di sebelah barat melalui lebuhraya 73 seterusnya 77. Melalui Darfield dan Mt Hutt. Pekan Rakaia pula terletak di sebelah barat daya menuju ke Ashburton melalui lebuhraya 1. Jarak antara keduanya lebih kurang 50km.

A – Pekan Rakaia | B – Rakaia Gorge

Menuju ke Gunung Sommers

Bertemu Rakaia Gorge, bermakna tamatlah kawasan dataran Centerbury dan bermula kawasan tanah tinggi Methven. Dari lebuhraya lurus dan mendatar, bersedia untuk tukar ke gear rendah supaya dapat memanjat jalan berbukit! Had laju 100km, tetapi berhati-hati di selekoh!

Gambar-gambar sepanjang perjalanan menuju Gunung Sommers.

New Zealand 3: Rakaia Gorge berkata, Jangan salah sebut namaku :P

Jiwaku separuh sedar. Kudengar kicauan burung. Jelas dan kuat, seolah-olah sang burung sedang mengepak-ngepak di sebelah telingaku. Hmm… bukan burung, tetapi burung-burung. Semakin kuat bunyi melantun-lantun digegendang telingaku. Merdu dan harmoni. Mungkin kicauan paling indah pernah aku dengari. Aku tertanya-tanya, dimanakah aku?

Mataku terbuka, spontan aku menyelak tirai. Alamak! hari sudah terang! Aku mahu bangun tetapi terkongkong oleh ruangan tidurku yang sempit. Antara tilamku dan bumbung van cuma setinggi satu kaki setengah. Aku menggerakkan Nott di sebelah, memanggil Yatt dan Abid yang tidur di bawah. “Bangun, bangun, hari dah terang!” laungku beberapa kali. Semua orang bangun dan terkejut. Aku minta izin turun dan Abid memberi laluan. Kelam kabut kami semua ke tandas lalu mengejar subuh yang entah ada lagi entah tidak. Penghuni bas hijau bangun lebih awal dari kami. Aku nampak mereka menikmati sarapan berdua di dalam rumah mereka yang unik itu.

Waktu ini jam di tanah air baru menjejak tiga pagi. Mungkin itu sebabnya kami tak sedar. Walhal malam tadi kami tidur agak awal. Maklumlah, tiada apa yang hendak dibuat. Bateri netbook sudah kehabisan sejak dalam kapal terbang lagi. Nak main game di talifon? Jangan cari pasal. Perlu berhemah menggunakan bateri. Lagi pula, aku tak ada kamera. Bergantung pada talifon saja. Sudahnya, tak ada apa yang kami lakukan selain membaca brosur-brosur yang Nott ambil dari i-Site. Tak begitu menarik kerana semuanya ada “harga”. Sudahnya, kami berborak-borak kosong sehingga tertidur.

Walaupun kami berkelana bersama hampir saban tahun, tapi kami tidak selalu berjumpa. Aku di Johor, Yatt di Sabah, Nott di Kuala Lumpur dan Abid di Selangor. Kami mempunyai kehidupan masing-masing. Sesekali bila Yatt balik ke Johor kami keluar makan-makan. Bila aku perlu bertugas di Selangor, aku menziarahi Abid. Perbincangan kami, melalui Facebook atau talifon. Begitulah kami. Jauh tapi dekat.

Mak Cik penghuni bas hijau sudah pon turun tanah. Aku melambainya. Dia membalas senyumanku.

“Hey, kamu baik-baik saja kan?” laungnya.

“Ya, kami okey saja” balasku mesra.

“Dapat tidur nyenyak malam tadi?”

“Ya, tapi agak sejuk”.

Kami kembali mengerjakan urusan masing-masing.

Sarapan sudah siap dimasak. Picu pada tong gas perlu dibuka setiap kali menggunakan dapur dan pastikan ia ditutup semula apabila selesai menggunakannya. Pintu akses kepada tong gas terletak selari dengan bahagian pemandu. Api dapur tak begitu besar, ambil masa sedikit walaupon untuk mendidihkan air dalam cerek kecil. Mee hon sup segera saja menjadi juadah sarapan pagi itu. Malam tadi kami cuma menjamah roti bersama sambal ikan bilis yang emak Yatt bekalkan. Pagi ini, berlauk sambal ikan bilis lagi. Mujurlah semalam kami sempat membeli telur dan susu.

Hamparan rumput hijau, bangku dan meja putih, pokok renek. Burung-burung berterbangan rendah, berkicau riang, berebut-rebut mematuk buah-buahan kecil di pohon renek. Pohon teduhan berdaun lebat, udara segar, hawa dingin. Pejamkan matamu. Dapatkah engkau bayangkan? 🙂

Semua itu menjadikan sarapan kami lebih enak dari biasa. ^_^

Sebuah kenderaan pacuan empat roda memasuki kawasan dan berhenti berdekatan tandas. Seorang lelaki berbaju biru tua berumur awal lima puluhan keluar menjengah tong-tong sampah di belakang tandas. Walaupun ia kawasan pembuangan sampah, namun ia bersih dan kemas. Semua sampah siap terasing dalam tong-tong kitar semula.

“Aku nampak macam ada banyak campervan la di sebelah sana tu” Abid bersuara.

“Itulah, aku rasa ada tempat lain untuk berkhemah ni. Dalam gambar di internet tu, ada sungai… errr.. macam kawasan delta. maksud aku, kawasan sungai tu besar dan luas! ” aku meluahkan rasa curiga.  “Kau orang dengar tak, kalau kita di bilik air tu, macam ada bunyi sungai” tambah ku lagi.

“Lepas makan ni, kita pergi tengok lah” Yatt memberi saranan. Dia menguis saki baki sambal ikan bilis.

Lelaki berbaju biru melewati kami, dia mengangkat tangan dan mengucapkan selamat pagi. Dia menuju ke arah bas hijau.

“Aku nak ambil gambar dekat-dekat sini dulu”. Nott yang habis-habis memetik kamera sejak tadi pun tak mahu ketinggalan. “Kita terus pandu masuk kawasan tu boleh ke?”

“Entah la… ” jawabku datar.

“Tadi kau tanya apa dengan pak cik tu?” Abid mengubah topik.

“Pasal bilik mandi… dekat website kata ada. Tapi pak cik tu kata sekarang tak buka” jawabku.

“Tak apalah, kita sama-sama tak mandi. Baru satu hari saja” Nott mencelah.

“Kali terakhir aku mandi… pagi kelmarinlah. Kan aku kerja separuh hari, dari pejabat aku terus naik bas ke KL. Semalam seharian dalam perjalanan. Rasa semacam saja ni”

Oleh kerana aku dan Yatt telah menyediakan sarapan, sekarang giliran Nott dan Abid pula berkemas. Aku mahu melihat Honesty Box dari dekat. Walaupun kawasan ini mempunyai penjaga, duit bayaran tapak perkhemahan sebanyak NZD 7.50 seorang di letakkan sendiri oleh pengunjung di kotak ini. Yatt, Abid dan Nott bergilir-gilir mengambil gambar di papan tanda Rakaia Gorge. Aku segera menyertai mereka.

“Kak Awa, Rakaia Gorge la buka George!” Yatt bersuara.

“Haaa..???  apa?” aku mendekati papan tanda.

“Gorge bukan George” ulang Yatt. “Patutla pegawai imigresen semalam tak faham-faham”

Ha ha ha. Dalam pada aku mengingat banyak info tentang Rakaia Gorge, tatepi aku tetap silap pada hal yang paling penting, namanya. Aku sangkakan Rakaia George tentulah nama seorang perempuan yang diangkat menjadi nama tempat. Punyalah berlagak pandai. Gorge bermaksud kawasan lembah dan sungai yang terletak di antara gunung-ganang.

   🙂 🙂 🙂 🙂 🙂

Empat orang perempuan muda berdiri terpegun dengan pemandangan yang terbentang di hadapan mereka.

“Cantik gilaaaa…..” Nott bersuara perlahan.

“Ahh… kalau kita berkhemah di sini semalam, bangun pagi saja kita menatap pemandangan ni” aku meluahkan kekesalan.

“dan.. lihat matahari terbit” sambung Abid layu.

“Ini mungkin baru lima persen saja dari semua kecantikan New Zealand. Hey, kita baru hari kedua!” Yatt cuba menceriakan kami.

Kami berdiri di tebing. Di hadapan kami sebuah dataran berbatu nan luas. Rumput hijau tumbuh sejemput-sejemput. Dataran batu putih menyerlahkan kebiruan air Sungai Rakaia Gorge yang membelah kawasan lembah, melengkung pada sebelah kanan kami. Tebing di situ lebih tinggi. Pemandangan kami terbatas di situ. Rumpunan lalang berdaun halus melindungi tebing. Daunnya lebat berwarna coklat separas betis berombak-ombak ditiup angin.

Kawasan perkhemaham Rakaia George, berpermaidani rumput hijau. Kiraku, kawasan itu boleh menempatkan lebih dari sepuluh campervan dalam satu masa. Khabarnya tempat ini popular menjelang musim memancing ikan salmon. Asalnya ada tiga campervan berkhemah di situ. Satu telah pergi meneruskan perjalanannya. Sungguh kami mencemburui mereka. Hai, aku rasa tak puas berdiri di tebing. Hinggalah Yatt mengingatkan kami supaya cepat bergerak kerana hari semakin siang. Jam hampir pukul sepuluh pagi.

Kami bergerak dengan van, berpatah balik ke jambatan Rakaia Gorge. Kami temui permulaan jejak Rakaia Gorge (Rakaia Gorge Walk). Kami tidak bercadang melakukannya tapi kami menyusur juga kira-kira dua ratus meter. Sayangnya kawasan sungai tak bisa di dekati. Dari hujung jambatan yang satu lagi, lebih jelas kebiruan air sungai Rakaia Gorge. Selepas setengah jam menghabiskan masa di situ, kami bergerak ke Gunung Sommers. Aku mengambil tempat duduk pemandu. Melihat pergunungan indah di hadapan membuat hati kami melonjak-lonjak tidak sabar.

“Berapa jauh lagi Mt Somers?” Tanya Yatt saat tayar mula berpusing.

“Lebih kurang setengah jam” Ah.. aku dan serba tahuku.

Sultan of Science

Beberapa tahun lepas, aku membaca mengenai 1001 Inventions yang membawa pameran tentang kegemilangan kurun ke-16. Owh… alangkah baiknya jika aku dapat melihatnya. Klik logo untuk ke halaman web 1001 Inventions. 1001 Inventions adalah projek di bawah National Geography

Baru- baru ini, secara tak sengaja aku mendapat tahu tentang pameran “Sultan of Science” di Pusat Sains Singapura. Syukur, semalam sempat aku pergi menyaksikan pameran tersebut. Walaupon pameran Sultan of Science tak sebesar dan sehebat 1001 Inventions, tapi ia sangat menarik. Masa di cadangkan 60-90 minit. Tapi sebenarnya, aku memerlukan lebih.

Tiket: SGD 12 untuk dewasa dan SGD 8 untuk kanak-kanak.

Tempat: Singapore Sains Center.

Kalau nak cerita memang panjang lebar jadi aku kongsikan gambar sahaja. Cerita lebih lanjut sila ke SULTAN OF SCIENCE

Kesimpulannya,

1) Pameran sebegini bagus untuk jati diri. Dan pameran ini bukan untuk anak-anak saja. Sejarah bukan untuk di kenang-kenang sahaja.

2 ) Hmmm…. ramai yang tahu kurun ke-16 adalah zaman emas orang Islam, tapi selain pernyataan itu, apa lagi yang kau tahu? Saintis Islam pernah hebat, tapi sehebat mana? Benar-benar hebat ke? Percaya dan tahu adalah dua perkara berbeza. Maksud aku bila orang beritahu kita Islam pernah gemilang. Kita percaya. Kepercayaan pada pernyataan itu kita sangka adalah pengetahuan, walhal kita tak tahu apa-apa tentangnya.

3) Dasar kepada sains ialah Matematik. Sistem nombor yang di gunakan sekarang iaitu 0-9 adalah ciptaan ilmuan Islam. Hmmm…. bukan kecil dan bukan sikit impaknya. Di kala kita percaya moden = barat, ada banyak yang perlu kita pelajari tentang jati diri sendiri.

At the entrance., Singapore science center
Dinosaur tak ada kaitan dengan Sultan of science hehe
Pakar mekanikal. Banyak replika mesin ciptaannya di pamerkan
Star of the exhibition. Kau tahu apa ini? Ciptaan al Jazari yang paling unik
Atas: mesih wudhu
Bawah: salah satu di antara masin-mesin mekanikal
Masih digunakan hingga sekarang oleh pelayar
Lihat kedudukan bintang untuk menentukan masa. Muslim telah lama menjelajah bumi.
Kapal Laksamana Cheng Ho. Bandingkan saiznya dengan kapal Inggeris tahun 1930-an
Ahli perubatan Islam tersohor
Peralatan pembedahan yang dicipta oleh ahli perubatan Islam, sehingga kini masih digunakan. Peralatan asal lebih cantik dengan motif bunga dan geometri pada permukaannya, manakala peralatan baru lebih ringkas. Mana satu yang lebih moden?
Buku-buku berkaitan sains tulisan ahli akademik Islam
Senibina Islam di Al-Hamra, Andalusia

Al-kisah lasik dan pengembara yang menjengkelkan

“Wa, kau tak mahu buat lasik?” Tanya kakak tiba-tiba. Aku segera teringat perkongsian facebook doktor mata tersohor masa kini, Dr Muhaya. “Enam ribu lebih, dua-dua belah mata” ujarnya lagi.

“Hmmm…., dengan enam ribu tu kak, lebih baik aku pergi Turki” jawabku acuh tak acuh.

Kakak mengeluh. “Kau buat lasik, lepas tu seumur hidup tak perlu lagi pakai cermin mata. Tapi kalau kau pilih pergi Turki, seminggu saja”

“Enam ribu aku boleh duduk sebulan di Turki!” kataku sambil berlalu keluar dari bilik. Aku dengar kakak membebel entah apa. Maaflah kak, kerana adik mu ini selalu menjengkelkan.

Sebenarnya, aku mahu menyambung jawapanku, tapi aku bimbang aku menjadi lebih menjengkelkan. Mulut ku tahan, cuma berkata dalam hati

[ Kalau aku belanja enam ribu(sebenarnya hampir tujuh ribu) untuk rawatan lasik. Benar, aku tak perlu lagi memakai cermin mata atau kanta sesentuh. Bebas, mudah hidup aku selamanya. Tapi… berapa lamakah selamanya tu? Dengan mata tanpa cermin mata aku melihat, pemandangan yang sama setiap hari, suasana yang sama setiap hari, pengalaman yang hampir sama setiap hari sehingga ia dipanggil rutin.

Kalau aku belanja jumlah yang sama pergi mengembara, walau dengan kaca mata, aku dapat memandang pemandangan berbeza, merasai suasana berbeza, keluar dari rutin dan belajar menyesuaikan diri setiap hari. Aku akan dapat pengalaman, pemikiran dan pelajaran yang nilainya …… sukar dinilai dengan duit.

Lagipun, tidak teruk sangat rabun mata aku ni :). Kalau aku ada dua belas ribu, mahu juga aku buat temujanji dengan Dr Muhaya]

.
.
.
.
.

{ Kalau kau ada dua belas ribu, setelah engkau pulang dari Turki, engkau akan berkata – ah, baiklah aku pergi Andalusia.. tak tertahan rasanya rindu pada Al-Hamra } Kata bahagian diriku yang satu lagi.

Hahaha.. aku ketawa sendiri.

Haya Sofia @ Istanbul
Al Hamra yang kurindui
Al Hamra @ Andalusia

New Zealand 2: Rakaia Gorge berkata, jika kau merasa takut, pandanglah ke atas :)

Jam 5.40 petang, telah masuk waktu maghrib. Namun langit dan tanah masih cerah. Perjalanan ke Rakaia Gorge mengambil masa hampir sejam setengah. Itu yang aku risaukan. Pertama, bimbang kami tak dapat menjumpai kawasan perkhemahan tersebut kerana hari sudah gelap dan kedua bimbang mereka tidak membenarkan daftar masuk lewat. Dari maklumat yang aku baca kebanyakan kawasan perkhemahan, mereka tidak menerima pelanggan selepas jam 8.30 malam. Ketika musim panas, matahari terbenam sekitar jam sembilan malam. Sebab itu aku tak pasti waktu daftar masuk lewat di  musim ini kerana siangnya pendek.

Kami melewati Scenic Highway 72. Lebuhraya dua lorong membelah padang ragut rata nan hijau. Gunung-ganang yang gagah melatari padang di sebelah kanan. Kambing biri-biri bertebaran, banyak tak terkira. Pagar rendah berdawai menghalang biri-biri melintasi lebuhraya. Walaupun hari beransur gelap, biri-biri masih meragut. Sesekali kami melewati kawanan lembu. Padang ragut menganjur berpuluh-puluh kilometer.  Sebagai penanda sempadan antara ladang, pokok pain di tanam rapat-rapat dua hingga tiga baris. Kalau hari masih cerah, tentu lebih cantik pemandangan di sini, bisik hatiku. Langit belum gelap sepenuhnya ketika aku lihat bulan telah terbit di atas gunung batuan yang berbalam-balam seperti gergasi yang sedang tidur.

Kawasan padang ragut tamat. Hari sudah gelap, dan tiada lampu jalan. Pokok-pokok tumbuh rapat di pinggir jalan membuat suasana agak menyeramkan. Abid memperlahankan pemanduan.

“Kawasan perkhemahan tu di sebelah kiri, lima ratus meter dari jambatan” Aku mengingatkan Abid.

Bila diingati, lucu pula. Lagak aku tak seperti orang yang datang kali pertama. Mana tak nya, berbulan-bulan kami menelaah rancangan perjalanan ini. Oleh kerana aku dan Abid sudah berkali-kali menelaah Google map untuk ke Rakia Gorge, setiap simpang yang kami lalui seolah-olah telah kami kenal benar. Begitulah jika kembara, perjalanan hari pertama sangat penting. Jangan sesekali pergi tanpa hala tuju. Lebih-lebih lagi bagi pengembara wanita.

Kebanyakan jambatan di New Zealand rupanya cuma mempunyai satu lorong. Perlu sangat berhati-hati ketika melintasi jambatan. Pastikan tiada kenderaan lain berada di atas atau di hujung jambatan. Sekiranya ada, tunggulah giliran dengan sabar. Sesetengah jambatan yang lebih panjang mempunyai tempat berhenti di tengah-tengah.

Kami nampak papan tanda tempat pelupusan sisa perkhemahan. Mungkinkah ini tempat yang kami cari? Abid membelok walaupun ragu-ragu kerana tempat itu gelap gelita. Van berhenti di halaman  sebuah bangunan kecil, gelap tak berpenghuni. Kami keliru. Ada papan tanda menyatakan “Di larang berkhemah”. Kami tambah keliru. Tak seorang pon berganjak dari tempat duduk. Akhirnya, Abid memandu keluar dari kawasan tersebut dan meneruskan perjalanan. Beberapa ratus meter kemudian, kami berjumpa lagi dengan sebuah jambatan.

“Mungkin ini jambatannya” kataku perlahan.

Abid memandu berhati-hati. Dalam gelap pekat, lampu van menyuluh papan tanda “Kawasan Perkhemahan Rakaia Gorge”. Tiada lampu dan pokok-pokok disekitar hampir melindungi papan tanda tersebut. Abid membelokkan van. Jalan batu tidak berturap. Gelap gelita. Kami masih tertanya-tanya. Adakah ini tempatnya? Beberapa meter di hadapan, bertemu simpang kecil, tetapi laluannya ditutup dengan palang besi. Ada tanda bertulis “Tidak dibenarkan masuk” Ah, malam pertama sudah begini mendebarkan.

“Mungkin ke depan lagi” aku cuba menenangkan kawan-kawan ku, sebenarnya aku menenangkan diri sendiri. Van bergerak perlahan dan hati-hati. Kami nampak cahaya. Ia adalah sebuah bas. Lampu dalam bas menyala menandakan ia berpenghuni. Mengikut maklumat yang aku kumpulkan, Kawasan Perkhemahan Rakia Gorge di selenggarakan oleh komuniti Rakaia Gorge. Penjaganya tinggal di dalam bas hijau yang telah diubah suai menjadi tempat tinggal. Sungguh, hatiku separuh lega. Aku mengesahkan pada mereka, inilah tempat yang kami cari.

“Di mana tapak berkhemah ni? Letak van di sini boleh ke?” Tanya Abid. Sia-sia saja soalan Abid kerana tak seorang pon dapat memberikan jawapan yang pasti. Akhirnya, dengan separuh yakin Abid mengambil tempat lima meter dari bas tadi. Bersebelahan kami ada sebuah kereta kecil, rupa bentuk kereta itu seperti kereta Perodua Kelisa. Nott segera turun lalu menuju ke bas hijau. Aku nampak seorang lelaki dan seorang perempuan sekitar lima puluhan di dalam bas itu. Bila Nott kembali dan mendekati van, aku membuka pintu gelongsor. Angin menerpa masuk.

“Ohh… oh.. sejukkkkkkkkkkkkkkkk” aku separuh menjerit.

“Betullah ini tempatnya, pak cik tu kata letak duit dalam kotak di sana” beritahu Nott.

Aku tak tahu mana yang dimaksudkan dengan “sana”. Aku tak Nampak apa-apa selain gelap. Nott meminta lampu suluh. Abid menemankan Nott mencari kotak yang dimaksudkan pak cik tadi. Yatt duduk diam, aku tak tahu apa yang dia fikirkan. Mungkin suasana tapak perkhemahan itu yang agak menyeramkan. Nott dan Abid kembali semula ke van dan bersiap-siap untuk ke tandas.

Aku dan Yatt berkemas ala kadar dan menyusun apa yang patut. Secara kasarnya, van ini terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pemandu, bahagian tengah yang menjadi bilik tidur pada waktu malam dan bahagian dapur di belakang sekali. Bahagian tengah mempunyai satu sofa katil, melekat pada belakang kerusi pemandu. Sofa ini mempunyai ruang penyimpanan rahsia di bawahnya. Jika ditarik sepenuhnya, ia akan mencecah hujung kerusi penumpang yang berada selari dengan hujung bukaan pintu van. Kusyen sofa yang berlipat secara automatik menjadi rata. Kemudian sebuah kusyen kecil perlu diletakkan antara kerusi penumpang. Maka jadilah ia sebuah katil kelamin yang agak selesa. Bahagian dapur dilengkapi kabinet di kedua-dua bahagian dinding sisi. Dapur gas dua tunku terletak di sebelah kanan, jika kita berdiri menghadap bahagian pemandu. Permukaan dapur bertutup pintu kaca tahan lasak. Menjadikannya sekaligus meja kerja.  Di bahagian bawah dapur gas ditempatkan peti sejuk mini dan tong berisi bekalan air bersih yang akan digunakan di sinki yang terletak pada kabinet sebelah kiri. Pam air perlu dihidupkan untuk mengalirkan air ke paip sinki. Terdapat laci kecil menyimpan sudu dan garfu di atas peti sejuk.

Permukaan atas kabinet bersebelahan sinki yang comel itu pula ada sebuah pintu kecil. Di bahagian dalamnya disimpan beberapa saiz mangkuk plastik, periuk, kuali, sudip,pisau dan papan pemotong. Selain itu cerek, span, berus kecil, dan kain lap juga disediakan. Satu lagi unit kabinet terpaku pada diding van, di bahagian atas sinki. Empat set pinggan, cawan, mangkuk dan gelas disimpan di situ. Kecuali gelas plastik, yang lain adalah kaca berjenama Perancis yang tak mudah pecah.

Kawasan perkhemahan  Rakaia Gorge tidak menyediakan tapak berelektrik. Kami berharap, suhu tidak akan terlalu sejuk malam itu.

Nott dan Abid telah kembali dari bilik air. Abid membentang tikar di sisi luar van, bersiap-siap untuk menunaikan solat.

“Bilik air mana?” tanyaku.

“Sana tu!” ujar Nott menunjuk ke satu arah.

“Sana?” Aku tak nampak apa-apa. Hitam. Gelap pekat. Angin sejuk menerpa. Aku kesejukan.

“Kau jalan terus saja, nanti kau nampaklah” ujar Nott lagi. Dia sudah kesejukan kerana basah oleh wuduk.

Aku dan Yatt berjalan perlahan-lahan. Kami bercakap-cakap untuk menenangkan hati yang sedikit cuak. Rupanya tak lah begitu jauh tandas yang dimaksudkan. Tandas berkeadaan baik dan bersih. Tiada tempat mandi dan satu-satunya paip air berada disinki. Bagi kita muslim, kita perlukan air untuk beristinjak.  Jadi, bawalah botol plastik ke mana-mana. Ringan, kecil dan praktikal. Di tandas itu, lampu pon tak ada, apa lagi pemanas air. Kalau kau nak tahu betapa sejuknya air wuduk kami malam itu, boleh cuba cara ini. Isi separuh baldi dengan ais, penuhkan air dan tunggu sepuluh minit. Kemudian kau berwuduklah.

Aku orang terakhir menunaikan solat. Berseorangan di luar van.  Usai solat, aku duduk sebentar menatap langit dan aku senyum sendirian. Sudah agak lama tak kulihat bintang sebegitu gemerlapan. Beribu-ribu bintang di atas sana bersama bulan yang belum dewasa. Kegelapan malam itu menaikkan sinar bintang. Angin bertiup agak kuat, semakin lama semakin sejuk. Aku mengalah. Segera kukemas tikar yang digunakan mengalas rumput. Aku lipat dan kuselitkan di kaki cermin sisi van.  Lalu menyertai kawan-kawanku berehat.

Ya Allah, kami bersyukur engkau pelihara kami sehingga saat ini. Bantulah kami sepanjang perjalanan ini.

Aku berharap, esok dapatlah aku menatap sungai Rakaia Gorge yang biru.

New Zealand 1: Chirstchurch berkata, Selamat datang gadis manis ;)

Akhirnya setelah lebih kurang sebelas jam berada di dalam pesawat, kami pon mendarat di Lapangan Terbang Chirstchurch lewat setengah jam dari waktu yang dijadualkan. Ketika kapal terbang merendah, dari tempat duduk kami di barisan tengah, kami mengintai-ngintai tingkap pesawat. Nanti, sebenarnya bukan tingkap pesawat yang kami intai, kami intai paparan kamera orang yang mengambil gambar dari tingkap pesawat. Pemandangan pergunungan membuat keterujaan kami membuak-buak.

Pelepasan imigresen dibuat secara berkumpulan, sekaligus kami berempat. Pegawai imigresen dengan senyum ramah menanyakan beberapa soalan seperti adakah kami datang untuk melancong atau urusan lain. Dia juga bertanyakan hubungan kami, adakah kawan atau saudara. Adakah kami menyewa kenderaan, apa rancangan kami dan di mana kami akan bermalam pada malam itu.

“Rakaia George” ujarku.

“Maafkan saya” dia memandangku keliru.

“Rakaia George”  aku mengulangi. Tapi pegawai imigresen masih keliru. “Sebuah tapak perkhemahan di Rakaia George” jelasku lagi.

“Oooo… iya, Rakaia Gorge” Dia menyerahkan dokumen-dokumen kami. “Semoga kamu menikmati percutian yang hebat!” ujarnya. Tak lekang dengan senyuman.

Kami mengucapkan terima kasih dan berlalu. Seperti yang di sepakati, hanya aku dan Yatt akan membuat pengistiharan kastam manakala Abid dan Nott akan bergerak dahulu untuk mencari pek talian talifon pra-bayar, mendapatkan sebanyak mungkin maklumat dari kaunter i-site dan memaklumkan syarikat sewa kereta supaya menjemput kami. Kami berpecah di kawasan pengistiharan kastam. Pada saringan pertama, aku dan Yatt disambut oleh seorang pegawai kastam wanita. Dia bertanyakan apakah jenis barang yang kami mahu ishtiharkan. Aku memberitahunya kami bawa sedikit makanan. Dia mengepilkan borang ketibaan aku dan Yatt lalu menulis food dengan pen marker. Seterusnya kami perlu beratur sekali lagi untuk pemeriksaan rapi. Aku dan Yatt asyik memerhatikan gelagat pengunjung yang membawa pelbagai barang yang langsung tidak terfikir oleh kami. Sepasang suami isteri berbangsa Cina membawa sekotak makanan ringan. Sepenuh kotak TV cembung dua puluh satu inci! Mereka terpaksa kosongkan kotak tersebut dan mengisinya kembali. Pelancong eropah membawa basikal lipat dan pelbagai lagi peralatan. Dalam pada memerhatikan orang  itulah baru kami sedar yang kami perlu mengihtiharkan kasut. Kami membawa beberapa pasang kasut dan selipar. Sebenarnya, selain kami masing-masing menggengong beg sandang belakang, kami juga berkongsi satu beg tambahan yang berisi makanan, kasut, penyangkut baju, barang-barang mandian dan sebagainya. Satu beg ini saja yang kami daftar masuk. Beg sandang kami bawa masuk ke dalam kabin. Itulah cara kami menjimatkan kos.

Aku bergerak semula kebelakang, membawa borang ketibaan untuk memberitahu pegawai wanita di saringan pertama yang kami juga ada membawa kasut. Pegawai tadi dengan senang hati melayani aku. Lovely! katanya sambil menambah Shoes pada borang ketibaan kami.

“Yatt, tau tak apa dia kata?” ujarku yang masih dalam keterujaan.

“Apa?”

“Dia kata Lovely!”.

“Terharu sangat dia dengan kejujuran akak”. Yatt turut ketawa.

Imigresen dan kastam di sini tak lah seteruk yang aku bayangkan. Walaupun pemeriksaan agak ketat namun jika kita mengikut peraturan, semuanya akan berjalan lancar.

Akhirnya giliran kami sampai. Kami mengeluarkan barang-barang yang mahu diistiharkan. Pegawai kastam cuma bertanya apa yang ada dalam bekas makanan.

“Chilli Anchovy” jawab Yatt.

Sebenarnya, satu bekas lain berisi kuih siput sira pedas, tetapi oleh kerana kedua-dua bekas berbungkus oleh beg plastik ia kelihatan serupa – isi dalamnya tidak kelihatan. Selain itu kami membawa beberapa buku roti dan mi segera. Tiada masalah membawa makanan kecuali produk daging dan tenusu sahaja yang tidak dibenarkan. Oleh itu kami tidak membawa bancuhan minuman segera dan mee segera perisa ayam. Kasut-kasut kami yang bersih dan berbungkus dalam beg plastik, cuma dipandang sekali lalu saja oleh pegawai kastam. Sebenarnya selain kasut, alatan sukan dan apa-apa yang mungkin mempunyai kesan tanah perlu diisitiharkan. Kami dilepaskan dengan senyuman. Seterusnya kami perlu ke mesin pengimbas pula. Seorang petugas membantu menyusun beg-beg kami di atas rel dan menyuruh kami menunggu di hujung mesin. Selesai semuanya, aku dan Yatt menolak troli keluar menjejak Abid dan Nott.

“Ehhh…..” aku terkejut melihat pintu keluar cuma beberapa meter dari tempat kami berdiri.

“Kenapa?” tanya Yatt

“Sekecil ini saja? Tak sangka” ujarku. Yatt ketawa kecil.

“Yalah, kita pon bayangkan tempat ni besar”. Yatt, bila bercakap dengan aku atau Abid membahasakan dirinya kita, tapi kalau bercakap dengan Nott dia membahasakan dirinya aku.  Ini kerana dia sebaya dengan Nott dan lebih muda dua tahun dari aku dan Abid. Dia memanggil aku Kak Awa. Tapi Nott sebaliknya beraku kau dan memanggil aku dengan nama saja. Yatt aku kenali ketika masih belajar. Aku dan Nott mula berkawan ketika bekerja di tempat yang sama lapan tahun dulu. Aku yang mempertemukan mereka.

Ramai orang berlegar-legar di ruangan itu. Abid dan Nott berdiri di sisi kiosk syarikat telekomunikasi berdekatan pintu keluar, berborak-borak sambil menunggu kami.

“Macam mana?” Ujarku sebaik saja mendekati mereka.

“Mahal! lapan puluh dolar untuk kad pra-bayar saja, belum masuk pelan data lagi” ujar Nott. Setelah berkira-kira kami berkeputusan untuk tidak membeli kad pra-bayar. Aku melihat segugus broshur dan pamplet pelancongan di raga troli. Tentu mereka dapatkan di i-Site.

“Sekejap lagi orang kereta sewa akan datang jemput. Kita kena tunggu di luar sana” Abid menunjuk tempat menunggu di luar bangunan. Cuaca kelihatan baik. Kami berpecah semula. Abid dan Nott pergi membeli kopi, Yatt ke tandas dan aku ke i-Site. Aku mahu menanyakan lokasi pejabat DOC. DOC bermaksud Department of Conservation atau dalam bahasa Melayu bermaksud Jabatan Perhilitan. DOC New Zealand menyelenggarakan kawasan-kawasan trekking, tramping dan juga perkhemahan. Di i-Site ada segala macam brosur pelancongan. Tetapi semuanya bersifat komersil. Tak ada peta kawasan yang lengkap.

Selesai mendapatkan maklumat tentand DOC, aku dan Yatt bergerak ke luar menyusul Abid dan Nott. Beberapa van syarikat sewa kereta beratur menunggu penumpang. Van yang sepatutnya membawa kami hampir penuh ketika kami tiba. Cuma ada dua tempat kosong. Oleh kerana Abidlah yang telah menguruskan urusan sewa campervan, aku dan Yatt mengalah dan melepaskan Abid dan Nott di bawa dahulu. Jam hampir menjejak 3.30 petang. Matahari memancar dan hawa tidak begitu sejuk. Mungkin sekitar 20 darjah celcius.

Di pejabat Jucy, beberapa kumpulan pelancong menunggu giliran untuk mendapatkan kereta sewa masing-masing. Hanya kami orang Asia. Seperti kanak-kanak yang tersesat di kawasan orang dewasa. Kami menunggu giliran untuk dipanggil sementara dokumen kami diproses. Aku duduk bersama Yatt, menghadap dinding kaca telus cahaya. Pemandangan kami lepas ke luar bangunan, memerhati kereta datang dan pergi. Para penyewa kereta pulang dengan kereta kotor dan berdebu dan para penyewa baru pergi dengan kereta yang bersih berkilat. Kami tertanya-tanya bagaimanalah rupanya Jucy Condo yang kami sewa.

Yatt mencuit aku, “Itu ke campervan kita?”

Sengih lebar Yatt melihat van Toyota Hi-Ace yang lebih tinggi bumbungnya diletakkan betul-betul berhadapan dengan kami. Enzim jakun merembes. Tak tunggu-tunggu lagi aku dan Yatt terus keluar meninjau-ninjau campervan tersebut. Sempat juga bergaya ala-ala model campervan.

“Masih tak dapat la nak bayangkan macam mana kita nak tidur dalam ni” kata Yatt sambil mengintai dari cermin belakang. Kakinya terjengket kerana van itu agak tinggi.

Nott tiba-tiba muncul memanggil kami masuk untuk menandatangani dokumen sewaan. Selepas itu seorang pekerja, Clara, mengiringi kami ke campervan yang bakal kami gunakan untuk 10 hari mendatang. Kami diberikan taklimat dan tunjuk cara bagaimana menukarkan kerusi menjadi katil, menyimpan barang berharga, menggunakan dapur gas, peti sejuk, sinki dan menyambung bekalan eletrik ke van. Nampaknya kami telah salah faham sebelum ini. Kami sangkakan campervan mempunyai simpanan tenaga eletrik yang boleh digunakan untuk menghidupkan alat pemanas dan sebagainya. Bateri dalam campervan cuma boleh digunakan untuk peti sejuk, lampu, pam air ke sinki ,set tv-pemain DVD dan radio. Untuk menggunakan alat pemanas dan mengecas bateri talifon atau kamera, van perlu mendapat bekalan elektrik sebenar. Ah, nampaknya kami akan mengalami masalah. Mengikut perancangan, kami mahu bermalam di kawasan perkhemahan komersil dan kawasan perkhemahan DOC berselang malam. Tiada bekalan eletrik di kawasan perkhemahan DOC. Itu bererti kami akan tidur dalam kesejukan. Jika kami bermalam di kawasan perkehemahan komersil setiap malam bermakna bajet kami untuk penginapan akan meningkat kira-kira tiga puluh peratus. Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami.

Sebelumnya, aku telah siap sedia mengambil wuduk ketika menunggu urusan kereta selesai tadi. Ah, sungguh kebetulan yang baik, kedudukan kiblat membolehkan kami solat di dalam van. Aku segera mengambil tempat untuk solat manakala mereka bertiga bergilir mengambil wuduk. Barang-barang di kemas sekadarnya, kami telah sedia untuk memulakan perjalanan. Jam sudah menghampiri jam lima petang. Aku mengubah rancangan, batalkan niat mencari pejabat DOC. Dengan bantuan GPS yang Abid muat turun di talifonnya, kami bergerak meninggalkan Christchurch menuju ke destinasi pertama kami , Rakaia Gorge.

Anak kau, anak aku II

Bapak: Ani Sal, kau tahukah tadi bapak Pak Khairi tukang kebun sekolah kau datang makan di warung bapak.

Anak: Dah tu, apa jadi?

Bapak: Dia salahkan bapak tak bagi kau duit belanja. Dia hebohkan dengan semua orang di warung tu.

Anak: Ai, kan Pak Khairi tu kawan baik bapak.

Bapak: Memanglah…. tapi betulkan? Pak Khalid tak bagi kau makan percuma kan? Bapak dah tahu awal-awal lagi. Memang dia tu cakap saja lebih

Anak: Sebab semalam bapak tak beri saya duit, dan saya pon belum sarapan lagi. Jadi saya puasa sunat lah.

………………………

Anak: Pak, esok ada duit belanja sekolah tak?

Bapak: Hmmmphh.. besok lah bapak bagi!

_____________________________________

Bahagian pertama: Anak kau, anak aku

Anak kau, anak aku

Anak: Pak, nak belanja sekolah

Bapak: Kau mintak makan percuma saja di kantin sekolah

Anak: Kenapa Pak?

Bapak: Sebab Pak Cik Khalid tuan kantin tu kata bapak meniaga ambil untung banyak sangat, mengzalimi orang katanya. Kalau dia bagus sangat, bagilah budak-budak makan percuma.

Anak: Memang ada yang makan percuma di kantik pak.

Bapak: Huh?

Anak: Anak-anak Pak Khalid makan percuma. Tapi saya anak bapak. Selain nama bapak dan dia sama bunyinya, apa kaitan saya dengan Pak Khalid? Lagipun, masa rumah dia terbakar dulu pon, bapak tak pergi tolong. Jadi, apa sebab Pak Khalid nak bagi saya makan?

Bapak: Bapak bukan niat jahat, bapak cuma nak bagi dia peluang tunjukkan kebaikan. Itu saja.

Anak: Bapak ni childish lah!

 

~~ sorotan isu PTPTN

Berapa peratus pelajar UNISEL dan KUIS adalah bukan anak Selangor?

Terima kasih atas kasih sayang kalian <3

Berladang-ladang penghargaan, bergunung-gunung terima kasih dan bertasik-tasik permohonan maaf


Ini lah dia ahli rombongan Kembara Poket Nipis New Zealand. Dari kiri Abid, Aku, Yatt dan Nott.

Kata Saidina Umar – Kita belum cukup mengenali seseorang kalau belum pernah bermusafir bersamanya.

Dan dalam van yang “Perfect for 2, good for 3 and a party for 4” itu, tak banyak hal yang boleh dirahsiakan. Kelemahan, kekurangan dan buruk baik kelakuan tak dapat disorokkan. Kerana itulah, perempuan disuruh bermusafir bersama lelaki mahramnya atau perempuan-perempuan yang dipercayai. Supaya kehormatannya terjaga dan keaibannya terpelihara.

Ternyata kawan-kawan ku ini, bukanlah perempuan mengada-ngada. Bukan orang mementingkan diri apa lagi meninggi diri. Mereka ini selalu berkata “Duit kita ……” dahulu, kemudian barulah “Duit aku …..”. Mereka ini mudah memberi dan penuh empati.

Nukilan ini adalah penghargaan kepada kalian. Sebelum aku meneruskan coretan tentang kembara poket nipis kita di bumi Aotearoa yang sangat indah itu.

Juga ku mohon maaf. Bukan seandainya lagi, tentulah dalam 13 hari itu terdapat salah silapku, hal-hal yang tidak menyenangkan dari aku. Semoga tak seriklah kalian berkembara bersama ku. Berdoalah semoga kita dapat berkembara lagi mencari rahsia-rahsia Tuhan.

Segala yang kita lalui, mudah-mudahan diredhai Allah. Kembara bukan semata-mata ke mana kita pergi dan apa yang kita lihat. Tetapi apa yang hati kita rasai. Apa yang minda kita fikir dan apa yang jiwa kita teladani.

Terima kasih atas kasih sayang kalian kepadaku selama dua minggu itu.