Penjelajahan South Island, New Zealand

New Zealand terdiri dari dua pulau utama, North Island di sebelah utara dan South Island di sebelah selatan. Di kelilingi oleh laut Tasman.

Ibu negara New Zealand ialah Wellington. Namun Aucland mempunyai penduduk terpadat, berpopulasi kira-kita satu juta melebihi Wellington dan Christchurch. Christchurch merupakan bandar terbesar di South Island.

Kami mengembara ke South Island, bahagian New Zealand yang lebih semulajadi, mencabar, lebih sejuk dan lebih banyak kambing!

Jarak pengembaraan: ~ 2500KM

Tempoh perjalanan dengan campervan: 11 hari / 10 malam [tidak termasuk dua malam terakhir di Christchurch]

Kenderaan: Jucy Condo [modified HiAce van]

A: Chrishchurch
B: Rakaia Gorge [zzz]
C: Mt Somers
D: Mt Sunday
E: Lake Tekapo [zzz]
F: Mt Cook
G: Moearaki Builders
H: Oamaru [zzz]
I: Dunedin
J: Portabello [zzz]
K: Te Anau
L: Knobs Flat [zzz]
M: Milford Sound
N: Kingston [zzz]
O: Glenorchy & Paradise
P: Queenstown [zzz]
Q: AJ Bungy Kawarau River & Arrowtown
R: Wanaka
S: Makarora  [zzz]
T: Fox Glacier
U: Hokitika [zzz]
V: Grey Mouth
W: Arthur’s Pass
X: Rangiora [zzz]

Klik sini untuk ke Google Map!

Nota: P: Glenorchy & Paradise dan R: Kawarau River & Arrowtown tu bukanlah tempat yang sama, pon tak dekat sangat la. Sebab Google map cuma boleh tag sampai X saja, jadi aku sekalikan tempat-tempat tersebut.

Semoga mendapat kekuatan untuk bercerita setiap tempat yang kami singgah. Setiap tempat ada ceritanya 😉

Siapalah kita hendak ambil kerja Tuhan?

Sumber gambar dan berita

Gambar ini mengingatkan aku pada satu cerita, begini ceritanya:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Pada zaman Bani Israil dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama suka berbuat dosa sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah itu melihat temannya berbuat dosa, ia meminta rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya itu.
Suatu hari, ketika rakannya itu sedang melakukan suatu dosa, ahli ibadah itu berkata “Berhentilah daripada membuat dosa.” Rakan nya itu menjawab “Jangan pedulikan aku, terserah Allah untuk menilai perbuatan ku. Adakah engkau diutuskan oleh Allah untuk mengawasi apa yang aku lakukan?”.
Ahli ibadah itu menjawab”Demi ALLAH, dosamu tidak akan diampuni oleh Nya dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.”
Setelah kedua-duanya meninggal dunia, Allah s.w.t telah menghakimi kedua-duanya dihadapanNya. Allah menyoal lelaki ibadah itu ” Adakah kamu lebih mengetahui daripada Ku? atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang telah berada dalam kekuasaan Ku?”
Kemudian kepada ahli maksiat itu Allah s.w.t berkata “Masuklah kamu kedalam syurga berkat rahmat Ku”. Sementara kepada ahli ibadah itu “masuklah orang ini kedalam Neraka”
* Hadith riwayat Ahmad 2/323;Abu Daud. 4901;Ibn Mubarak dalam kitab al-Zuhd, 314; Ibn Abi Duniya dalam Husnuzh Zhan,45; al-Baghawi dalam syarh al-Sunnah; 14/385.

Cinta Granada

ImageUlasan buku ini aku ambil dari blog lama. Pertama kali diterbitkan pada Sunday, September 27, 2009

Salam Aidilfitri 😉

Walaupun masih ada rasa bersalah pada tumpukan buku-buku yang belum sempat dibaca, aku tak dapat menahan dari membeli Cinta Granada. Aku seakan mahu melompat ketika terlihat nama Radwa Ashour, setelah aku teliti benarlah, buku ini adalah sambungan dari Rindu Andalusia. Rindu Andalusia yang aku beli ketika PBAKL April lepas adalah buku pertama dari Trilogi Granada. Terbitan Telaga Biru namun ia adalah buku terjemahan dengan teks Bahasa Indonesia. Kerana terkesan dengan Rindu Analusia, aku mencari Trilogi Granada ketika di Bali [Hasil shoppingan buku di Bali], tapi tak berjaya mendapatkannya. Alhamdulillah, dah tiba buku ni di Malaysia.

Rindu Andalusia bermula dan berakhir dengan kematian. Saleema menyaksikan Abu Jaafar meninggal kerana terseksa batinnya melihat kitab-kitab di bakar. Seperti Deja-Vu, kisah ini berakir dengan Saad, yang mati berdiri melihat isterinya Saleema di bakar hidup-hidup.

Kisah keluarga malang ini berlanjutan dalam Cinta Granada, isi rumah Abu Jaafar yang dulu penuh kini cuma dihuni oleh Hassan, isterinya Mariama dan cucunya Ali. Mariama, menantu Ummu Hassan yang dulu kebudak-budakan diangkat menjadi tunjang kisah ini. Mariama menyaksikan pemergian dan kematian seorang demi seorang penghuni rumah tersebut. Naeem telah kembali dari perantauan menyertai 3 beranak itu di rumah Abu Jaafar. Namun, baik Hussien, Mariama mahupun Naeem, mereka semua sudah tua, sudah menginjak 70-an. Hassan telah lumpuh. 3 orang tua yang hampir pikun dan selalu bergaduh tentang hal remeh dan kebudak2kan selalu membuat seorang anak kecil kebingungan dengan tingkah mereka. Kanak-kanak itulah, Ali, anak Hussien dan Aisyah yang ditinggal pergi untuk menjadi gerila dipergunungan Andalusia. Pada Ali mereka tumpahkan kasih sayang. Memanjakannya dan menceritakan kisah-kisah dongeng. Naeem, selalu bercerita tentang orang-orang mulia, Abu Jaafar, Said dan Saleema – tanpa Ali mengetahui merekalah leluhurnya.

Hassan, mengajarkan cucunya Ali huruf-huruf Arab secara rahsia. Memang segala-gala tentang Arab apalagi Islam perlu dilakukan dengan rahsia. Generasi muda langsung tidak kenal huruf Arab (sama nasib dengan Jawi?). Kitab-kitab Arab terus diharamkan. Larangan lama tentang pengharaman budaya Arab dan Agama Islam diperketatkan kembali. Bahasa, pakaian, budaya semua menjadi kesalahan. Islam yang mereka amalkan hanyalah yang terpasak pada ingatan mereka, seperti yang diajarkan oleh orang tua mereka. Mereka tiada kitab tempat merujuk, Ilmu juga tidak dapat berkembang. Pintu-pintu rumah perlu dibuka seluas-luasnya pada hari raya, Khamis dan Jumaat untuk memastikan mereka tidak melakukan ibadah dan budaya-budaya berkaitan agama. Jauh sekali untuk mempunyai masjid, beribadah dirumah dan berpuasa pon perlu menyorok. Para wanita dilarang memakai hijab sehingga mereka terpaksa memberi alasan, tudung kepala mereka hanyalah adat tidak berkaitan dengan agama. Nama Arab tak boleh digunakan, tiada identiti agama pada nama. Kemuncaknya ialah pengusiran penduduk. Oleh kerana bimbang dengan kebangkitan revolusi dan gerakan gerila, pemerintah mulanya mengusir para pemuda kemudian sekalian penduduk dipindahkan dari Granada ke Cordova. Dalam perjalanan pengusiran yang menyayat hati inilah, Mariama yang umurnya mencecah 80 tahun, telah tidak mampu berjalan, diampung oleh cucunya, meninggal dalam pelukan Ali. Doa Mariama untuk dikebumikan mengikut syariah tidak termakbul.

Ali telah lari lalu kembali. Dia tidak dapat menahan cintanya pada Granada. Sehingga bilakah mereka mampu bertahan? Adakah generasi muda keturunan Arab di Granada masih mahu mempertahankan tauhid mereka? Atau lebih rela menjadi barua Castile untuk kesenangan hidup? Bagaimana sikap Ali terhadap watak baru yang muncul dari diri kawan lamanya?

………………………….

Aku teringat banyak hal ketika menikmati buku ini. Aku tertanya-tanya, adakah apa yang berlaku di Granada ada kesamaan dengan musibah yang menimpa Melaka 1511? Di Granada, Masjid bertukar menjadi Gereja. Bukankah tapak A Famosa yang kamu selalu agung-agungkan dan menjadi icon sejarah negara dibina di atas tapak sebuah masjid? bukankah Melayu Islam dulu menggunakan huruf Jawi yang dipinjam dari huruf Arab, tapi kini kita menggunakan huruf rumi yang dipinjam dari huruf Latin? Lalu bagaimana itu boleh berlaku? Adakah sama seperti tragedi-tragedi di Granada? Walau dalam buku teks sejarah sekolah kita menyatakan Benggali putih itu datang kerana rempah, tetapi fakta yang tidak boleh disangkal mereka datang membawa misi Agama. Oleh kerana Melaka telah diiktiraf sebagai ‘Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO’, maka A Famosa selama-lamanya tidak boleh diruntuhkan, maka selama itu kita melihat titik hitam lagi berdarah Kerajaan Melayu Islam Melaka. Puji bagi Allah dengan rahmatnya. Walaupun beratus tahun kita dijajah, nenek moyang kita masih dapat mengekalkan akidah hinggalah kita mewarisinya dari mereka. Apalah nikmat yang lebih besar dari iman dan Islam?

Ketika membaca kisah pengusiran mereka dari Granada, aku terbayang Palestine 60 tahun lepas. Ketika rakyat Palestine diusir dari tanah mereka untuk diberi kepada Israel. 60 tahun lepas dan kini mereka masih pelarian. Mereka meninggalkan rumah, tanah, kedai dan masjid mereka.

Bahagianya kita, sebulan kita ber Ramadhan, sambung lagi sebulan ber hari raya. Tak ada siapa yang larang. Masjid kita besar-besar dan mewah. Cuma kita je belum tentu sayang pada masjid-masjid kita. Kau kira, pada hari terakhir sebelum Portugis membedil Melaka, adakah penduduk Melaka meyangka masjid mereka akan runtuh dan tak terbangun sampai bila2? Namun bila ia terjadi, ramailah yang merinduinya.

Nota (25/6/2012): A Famosa didirikan di atas tapak istana, manakala bahan binaannya adalah dari sisa masjid yang terkorban

Rindu Andalusia

Ulasan buku ini aku ambil dari blog lama. Diterbitkan pertama kali pada Monday, May 11, 2009 

Aku kemaruk novel sejarah. Sama ada novel sejarah dengan watak yang sebenar seperti Siri novel Sejarah Islam karangan Abdul Latip Talib atau novel yang berlatarbelakangkan tempat dan zaman tercatatnya sesuatu sejarah.
Tajuknya, ‘Rindu Andalusia’ saja cukup untuk menarik minat aku memilih buku ini antara buku2 lain dirak. Ringkasan pada kulit hadapan tertulis
‘Meyingkap penindasan sebuah keluarga muslim di granada setelah empayar muslim runtuh. Porak peranda. Hancur tidak berbentuk..’

TERSENTAP!.. mulanya aku sangakakan ini tentu cerita tentang zaman kegemilangan Islam di Andalusia. Rupa2nya kisah zaman kejatuhan. Manusia memang lebih suka mengingat hal2 yang manis. Berapa ramaikah antara kita yang tahu sejarah pahit manis bangun jatuhnya Islam? Kita tahu Islam pernah gemilang, Islam menaung 1/3 dunia. Tetapi kita(akulah tu) tak begitu ambil tahu perit dan payahnya semasa membangun apalagi semasa meruntuh.

Kemaskini:
Sebelum ini aku baca Tariq bin Ziyad – Di Andalusia (Sepanyol) – Syahid atau menang. Itulah awal Islam datang ke Andalusia. Dan buku ini adalah saat akhir Islam tumbang.

Kisah Rindu Andalusia bermula dengan Boabdil el Chico ‘menggadai’ rakyatnya dan kunci2 kota AlHamra melalui perjanjian terbuka dan rahsia dengan raja dan ratu Katholik. Raja dan pemimpin berpindah dengan selamat manakala rakyat ditinggal kekeliruan. Dengan itu bermulalah kerumitan dan penderitaan umat Islam Granada. Bermula dengan perampasan masjid, pembakaran kitab hinggalah pemaksaan menganuti Agama Kristian yang akhirnya menjadikan amalam Islam bahkan bercakap dalam bahasa arab pun adalah satu jenayah! Seolah2 lahir sebagai seorang Arab adalah satu dosa! Tragedi demi tragedi dari pembakaran kitab hingga ke pembakaran manusia hidup2 sebagai hukuman. Sesungguhnya iman menuntut bayaran yang mahal sekali waktu itu. Ramai yang bertahan, ramai juga yang kecundang.

Ceritanya sekitar kehidupan keluarga Abu Jaafar;Ummu Jaafar, Ummu Hassan, Saleemah, Hassan. Kisah keluarga itu berkembang dengan kehadiran Abu Mansour, Naeem, Said dan Mariama. Kisah pertemuan, perpisahan, percintaan dan perjuangan. Kisah2 meruntun jiwa, mereka menduakan muka. Mereka menyembunyikan iman, bahasa, budaya malah kitab-kitab untuk ‘kebenaran’ terus hidup dikampung sendiri. Malah mereka rela dibabtiskan, bertukar nama dan mengunjugni gereja saban minggu. Bermacam2 perasaan timbul ketika kembara buku ini. Kadang cemas, kadang suka, kadang geram, kadang gelihati, kadang sedih, kadang hairan, kadang kecewa.

Buku ini berakhir dengan tragedi. Bukankah tragedi ‘runtuhnya’ Islam masih berlangsung hingga sekarang?

Buku ini adalah terjemahan versi Bahasa Indonesia. Pengarangnya ialah Radwa Ashour, seorang profesor kesusasteraan Inggeris di Mesir. Membacanya perlu sedikit sabar, keterangan suasana terutama rekabentuk bangunannya agak terperinci. Oleh kerana ia asing bagi kita jadi susah sedikit untuk dibayangkan. Bertuah aku kerana Jawaku, maka perkataan2 seperti bocah, jagal,sabuk,sumpek tidak janggal bagi aku. Namun banyak juga perkataan yang asing. Makanya sila rujuk pada glosari dimuka2 penghabisan. Mudah-mudahan kesabaran engkau berhasil dan mudah2an engkau akan dapati kesabaran itu angat berbaloi.

 

Poket Bocor Di New Zealand

Pengembara dan rakan-rakan baru saja pulang dari bumi Shawn the sheep. Nantikan cerita-cerita nipis dan bocor.

Knobs Flat

Ya… yang tersembul kepala itu ialah Campervan… kondo kami selama 11 hari 🙂

Gambar ini diambil kira-kira jam 7.30 pagi. Di Knobs Flat (Milford sound road), tempat kami bermalam dalam perjalanan ke Milford Sound. Malam paling sejuk kami lalui tanpa pemanas. Beberapa kilometer dari sini, ke arah Milford Sound salji telah turun malam itu.

Ada sungai kecil mengalir berdekatan. Kami satu-satunya camper yang bermalam di situ. Pagi-pagi kami bertolak ke Milford sound untuk menaiki Cruise pertama (9.45 pagi). Pagi itu kami bersarapan jemput-jemput udang yang di goreng malam sebelumnya. Panaskan saja tetapi sejuk kembali kurang dari lima minit. Perjalanan ke Milford Sound sangat ohsem!

Melihat mereka dan merenung kita

Cuma ada dua orang pekerja di kedai membaiki komputer bimbit itu. Seorang sedang melayani kami dan seorang lagi sedang khusyuk bekerja di hadapan komputernya. Seorang perempuan berbangsa eropah masuk. Gayanya tak seperti pelancong. Dia berpakaian kasual. Berseluar jeans dan berkemeja T longgar. Beg sandang merah tergantung di belakangnya. Ada sedikit racik pada bahagian zip tetapi lubangnya tidak besar. Tangannya menggendong beberap naskah buku tebal.

Pada mulanya aku tidak begitu mempedulikan dia. Aku sangkakan dia juga pelanggan seperti kami. Oleh kerana dia bercakap agak kuat, jadi aku dapat mendengar perbualannya dengan pekerja yang kelihatan sedang tertekan dengan kerjanya. Mereka berbual dalam bahasa Inggeris.

Perempuan Eropah berketinggian Asia itu sangat peramah, sentiasa senyum bila bercakap “Muka kamu sangat pucat!”

“Ya, saya sibuk bekerja setiap hari” lelaki itu membalas lemah.

“Kamu patut keluar mendapatkan cahaya matahari supaya lebih segar dan ceria seperti saya”. Lelaki muda itu cuma tersenyum pahit. “Mungkin esok kamu patut ke pusat” Perempuan itu memberi cadangan.

“Sebenarnya kedai kami buka tujuh hari seminggu, esok ahad dan kedai kami buka seperti biasa”

Tetapi perempuan itu tak berputus asa. “Oh, begitu ke? Tak mengapa. Bila-bila kamu ada masa, datanglah ke pusat. Kamu tahu kan, di sana kamu boleh menyegarkan rohani dan spiritual. Itu sangat penting”. Lelaki itu mengangguk-angguk.

Aku tak dengar pusat apa yang perempuan itu maksudkan. Tapi aku jangkakan tentulah gereja. Perempuan tadi beredar dengan
senyum walaupun keberhasilan usahanya belum dapat dipastikan.

Seminit kemudian, seorang lelaki melangkah masuk. Aku tak dapat pastikan sama ada dia berketurunan Pakistan atau India. Dia berjubah putih, berjambang nipis.

“Muslim?” tanyanya pada pekerja kedai. Pekerja kedai menggelengkan kepala lalu menunjuk ke arah kami. Lelaki tadi mendekati kami. Bahasa Inggerisnya tidak begitu jelas. Namun aku memahami yang dia mendakwa dirinya memungut derma untuk muslim di Kashmir. Taktik biasa pemungut derma, dia menunjukkan gambar – gambar yang didakwanya anak-anak muslim di Kashmir. Begitu susah untuk aku mempercayainya. Dia menggesa dan menekan suaranya. “Kamu orang Islam.” Dia buat muka kecewa. Beranggapan kami tiada keperihatinan terhadap sesama saudara muslim.

Mengingatkan perempuan Eropah tadi – aku terbayang senyumannya – aku rasa seperti diejek. Dan lelaki itu masih berdiri memandangku. Tiba-tiba aku jadi malu pada dua orang bukan Islam di dalam kedai itu. Aku segera memberinya duit supaya dia cepat-cepat pergi. Dia membuka beg bimbitnya dan aku masukkan duit ke dalam beg itu. Walaupun aku sebenarnya ingin bertanya lagi tentang “misi” yang dia jalankan. Aku langsung tak dapat mempercayainya hanya dengan gambar.

Lewat petang itu, kami mendapat panggilan. Pekerja kedai meminta kami mengambil semula komputer riba yang telah siap dibaiki hari itu juga kerana mereka tiba-tiba membuat keputusan untuk bercuti esok. Aku terbayang muka perempuan Eropah tadi, aku melihat dia tersenyum menyambut kedatangan seorang lelaki di pusat aktiviti mereka. “Terima kasih kerana sanggup meninggalkan kerja dan menyertai kami, kamu tak akan kecewa” Mungkin itu yang dia ucapkan bila mereka bersua esok.

Hal ini sanggat menggangu fikiranku. Perempuan Kristian yang datang berdakwah dan lelaki muslim yang datang meminta derma. Dalam drama pertarungan kecil ini, Islam yang agung telah kalah. Aku malu dan kecewa. Lebih mengecewakan, aku… sebenarnya tidak lebih baik dari lelaki peminta sedekah itu. Aku malu dengan diriku sendiri…

Kenapa …. ?

Aku suka membaca. Aku seronok membaca. Aku selalu ceritakan apa yang aku baca sampai kawan-kawanku bosan [ sejak zaman sekolah, selera aku pada buku dan pengarang buku selalunya tak difahami ]. Aku selalu paksa kawan-kawan baca buku yang aku suka sampai mereka …. errr …. biasanya aku gagal memaksa [ kerana terlalu biasa tidak di fahami, aku pon biasa di tolak ]

Kemudian aku tulis blog. Di blog, aku cerita tentang buku yang aku baca. Lebih kurang seperti pengulas buku tak bertauliah. Kerana aku tak pernah belajar sastera, penulisan, seni dan sebagainya. Aku kemudiannya seronok menulis ulasan buku.

Semakin lama… semakin seronok. Lebih-lebih lagi bila mendapat respon yang agak baik. Aku berazam untuk kongsikan 1 buku 1 minggu [ bukan aku yang tiru bang jib, bang jib yang tiru aku ]. Tak berapa lama selepas tu, tanpa aku sedar, aku membaca untuk menulis ulasan buku. Sebab aku membaca baris saja, aku tak membaca antara baris. Sebaliknya, kadang-kala, aku terlebih pula membaca antara baris. Sampai bayang-bayang kepada bayang-bayang baris pon aku nampak. Atau aku sebenarnya berhalusinasi. Semua sebab aku nak buat ulasan yang hebat. Kadang-kala, bila penyakit gila no 66 aku datang, aku bayangkan bila sesiapa baca ulasan aku, dia akan terpukau lalu segera ke kedai buku dan beli buku tersebut serta-merta.

Sampai satu saat, aku tak boleh membaca lagi. Aku dah tak seronok membaca. Aku berhenti membaca dan berhenti menulis.

Aku tanya pada diri aku. Kenapa aku membaca? Kenapa aku menulis?

——————————————————————————————————————–

Sekarang aku tanya pada diri aku. Kenapa aku berkembara? Adakah aku akan hilang keghairahan berkembara bila aku menulis tentangnya?

Janji ada cup cake cantik-cantik

Dah 15 hari perbincangan berlarutan. Mak timah berkeras mahu berjamu nasi beriani kambing. “Nasi jagung sajalah mak” pujuk Mail. “Lia tak kisah janji ada cup cake cantik-cantik atas meja pengantin”. Lia bersuara tanpa dipinta. Mail keberatan. Semua duit, duit, duit! Kalau nasi beriani, tetamu datang tak dapat membawa pulang berkat. Tapi untuk tetamu istimewa, emak pesan sungguh-sunguh sediakan berkat istimewa. Cenderahati dan bunga telur sekali. “Tetamu biasa beri sumi saja, cukup” kata emak. Tak suka betul Mail terlalu membeza-bezakan tetamu. Semua tetamu datang membawa berkah.

Dua minggu sebelum hari kenduri, emak tukar keputusan. “Nasi jagung sajalah Mail, semalam emak dengar orang mengata Pak Tam. Kenduri kawin anak dia, berkat ada macam-macam pangkat. Mak pun cuma dapat coklat murah dengan kerepek campur-campur. Sedih tau. Pak Mail dengan arwah ayah kamu kan kawan baik dari kecil lagi. Mesti ayah kamu sedih kalau dia masih ada” Pening Mail melayan emak, hutang sudah dirayu. Kambing dan rempah-ratus beriyani sudah ditempah. Tukang masak sudah dijanji. Tiba-tiba nak tukar. “Tak apalah kita berjamu nasi jagung pon, kita buatlah bubur kacang, tak lah orang mengata kita kedekut sangat” ujar emak lagi

“Lia tak kisah, janji ada cup cake cantik-cantik atas meja pengantin”.

Berita gempar hari ini

Kalau… kalau saja

Kalau aku ialah Menteri Belia dan Sukan, aku akan buat program TwoTee. Travel n Think

Aku pernah post ini di status FB. Orang komen, sepatutnya Menteri Pelancongan. Okey, ini ialah jawapan aku :-

1- Melancong dan mengembara ialah dua aktiviti berbeza.

2- Beza yang mudah,

  • Pelancong fokus pada pusat beli-belah. Pengembara suka keluar masuk pasar.
  • Pelancong tidur hotel yang selesa. Pengembara tidur di lapangan terbang.
  • Pelancong naik bas pelancong. Pengembara naik bas awam
  • Pelancong upah pemandu pelancong. Pengembara jalan dekat-dekat dengan pelancong berpemandu untuk curi                           dengar penerangan percuma.
  • Pelancong bawa baju lebih (tak cukup, beli yang baru). Pengembara asik ulang baju yang sama 😛
  • Bagi pelancong, renyah-renyah dalam percutian merimaskan. Pagi pengembara renyah-renyah dalam perjalanan  memberikan warna
  • Bagi pelancong sesat adalah satu bala. Bagi pengembara sesat adalah satu kemestian.
  • Bagi pelancong ada duit semua boleh dapat. Bagi pengembara, tak ada duit kita makan megi saja.
  • Pelancong lazimnya orang berduit. Pengembara tak semestinya tak berduit ha ha
  • Pelancong lebih romantis (tempat kegemaran ialah pantai dan pulau). Pengembara err… romantik juga.. minum air kongsi-kongsi ha ha

3- Mengembara tak berapa sesuai untuk orang tua (jadi berusahalah pergilah haji waktu muda)

4- Aku perhatikan, ramai orang muda sekarang malas berfikir. Bila komen isu semasa pendapat mereka macam katak bawah tempurung. Tengok ikut satu lubang. pengaruh hedonism yang berlebihan barangkali. Kembara, boleh membuka minda.

5- Ada banyak aktiviti lain yang dimasukkan dalam kembara yang bersifat kesukanan. Seperti mendaki, berkayak, explorasi gua dan sebagainya.

Jadi, undilah saya untuk PRU 31 (kalau umur panjang)….

Menulis dari pinggir Selat Tebrau.